Anda di sini

Bangunan lama SMK Kudasang menunggu masa untuk roboh

Advertisement

RANAU: Struktur beberapa bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang yang dikosongkan sejak 2013, kini rosak teruk dan tinggal menunggu masa untuk roboh sendiri, berikutan tapak tanahnya mudah berlaku gelinciran.

Bangunan lama sekolah itu yang yang terletak satu kilometer dari pekan Kundasang, mula dibina tahun 1994 siap dan digunakan sepenuhnya sekitar 1996, menempatkan ratusan pelajar yang tinggal dari puluhan buah kampung sekitar Kundasang, namun terpaksa dipindahkan bagi meneruskan pembelajaran mereka ke bangunan SMK Agama lama Ranau terletak satu kilometer dari pekan dan kira-kira 6 kilometer dari pekan Kundasang.

Ramai ibu bapa menghubungi media, mohon kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengenal pasti tapak yang lebih sesuai dan menyegerakan pembinaan sekolah yang baharu bagi menggantikan bangunan lama.

Beberapa ibu bapa yang sempat ditemui meluahkan perasaan bimbang dan berasa terbeban membiayai kos kereta sewa pergi balik anak-anak mereka dari Kundasang ke SMK Agama lama kerana bayarannya mencecah ratusan ringgit sebulan bagi seorang anak.

“Bayaran sewa kereta seorang pelajar dari pekan Kundasang mencecah RM140, apatah lagi dari kampung kami, bayaran sewa kereta lebih daripada itu terpaksa kami bayar,” kata Pengerusi JKKK Kampung Sinisian Rotinin Suhaimi, 43, mewakili para ibu bapa dari kampungnya.

Pengerusi JKKK Kampung Cinta Mata Kundasang Soprinus @ Saiful Lozingin, 44, pula mewakili ibu bapa dari kampungnya memohon KPM agar menyegerakan pembinaan bangunan baharu SMK Kundaasang memandangkan jarak antara Ranau dan Kundasang agak jauh dan membebankan ibu bapa yang tidak memiliki kereta sendiri serta tiada sumber pendapatan tetap dan terpaksa membayar kereta sewa sehingga ribuan ringgit sebulan jika anak lebih daripaa seorang.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kundasang Kasinin Basir, 46, ketika ditemui, menasihatkan para ibu bapa agar bersabar menunggu pembinaan bangunan sekolah baharu yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.

Beliau juga mengharapkan agar kelewatan pembinaan SMK Kundasang itu, tidak dipolitikkan oleh individu dan kumpulan atau organisasi mana-mana politik sebagai isu untuk kepentingan peribadi.

Tinjauan penulis ke lokasi tapak lama SMK Kundasang kelmarin mendapati, kebanyakan bangunan mula reput, runtuh serta ditumbuhi semak samun dan agak berbahaya kepada orang ramai yang cuba mengunjungi kawasan berkenaan.

Kawasan itu kini menjadi satu kawasan larangan, memandangkan terdapat runtuhan bangunan, membahayakan keselamatan pengunjung.

Penulis mendapati untuk memasuki kawasan sekolah lama itu kebenaran harus dipohon daripada pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam di pintu masuk lokasi berkenaan.

Advertisement