Anda di sini

Miri juara Piala Belia

Advertisement
 Barisan pemain skuad Miri yang menjuarai Piala Belia Bawah 19 Tahun di Bintulu, semalam.

MEMBANGGAKAN: Barisan pemain skuad Miri yang menjuarai Piala Belia Bawah 19 Tahun di Bintulu, semalam.

Lakar sejarah tersendiri benam Sarikei 3-0 pada aksi final

Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Pasukan Miri mencatatkan sejarah tersendiri apabila merangkul juara keseluruhan Piala Belia Bawah 19 Tahun selepas membenam Sarikei dengan jaringan 3-0 di Stadium Bintulu petang semalam.

Kejayaan itu turut dikongsikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Miri, Mohamad Saif Jubaidi yang turut berada di Bintulu untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.

Paling membanggakan ialah kedua-dua gol berkenaan dijaringkan oleh Amar Muaz Zamri pada minit ke-39 dan ke-42.

Miri menambah kedukaan pasukan Sarikei selepas Rivaldo Adrill Wilson menjaringkan gol ketiga Miri minit ke-53 dan memastikan Miri berada dalam keadaan selesa.

Saif berkata, tuah tahun ini berpihak kepada pasukan Miri apabila berjaya membawa pulang Piala Belia ke Miri dan ia adalah sejarah paling bermakna sejak persatuan itu ditubuhkan.

“Kita tidak menyangka dapat meneruskan saingan ke perlawanan akhir kerana sasaran sebelum ini hanyalah mara ke peringkat separuh akhir.

“Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Ketua Jurulatih Miri, Mohd Hakimi Man dan anak-anak buahnya yang meneruskan momentum kemenangan meskipun disaingi pasukan lain,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Miri menang dalam perlawanan pertama menentang juara bertahan, Kuching dengan 3-0, seterusnya kalah menentang Sri Aman 0-2 tetapi menang semula pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C menentang Sarikei 4-0.

Pada perlawanan di peringkat suku akhir pula Miri menang menentang Betong dengan jaringan 1-0 seterusnya menewaskan Samarahan juga dengan jaringan 1-0 pada peringkat separuh akhir.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi.

 

Advertisement