Anda di sini

Masyarakat perlu tahu peranan sebenar ESSCom

Advertisement

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak mahu dilihat mengambil alih peranan pihak yang sepatutnya dalam memberi pemahaman sebenar tentang tahap keselamatan di Sabah kepada masyarakat.

Komander ESSCom Datuk Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, pihaknya hanya agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab dalam pengoperasian serta perisikan.

Katanya selain ESSCom, ada agensi atau kementerian lain yang berperanan dalam melaksanakan program berkaitan keselamatan yang melibatkan masyarakat.

Bagaimanapun jelasnya ESSCom sentiasa terbuka dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak khususnya dalam program yang merujuk kepada perspektif keselamatan.

“Semua orang perlu tahu apa sebenarnya peranan ESSCom dalam menjaga keselamatan di Sabah.

“Masyarakat terutamanya perlu mendapat gambaran yang sebenar tentang keadaan keselamatan kita supaya mereka faham peranan dan tanggungjawab semua pihak.

“Kami hanya agensi yang melaksanakan operasi dan kerjasama dengan agensi lain membantu kami dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada ESSCom,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Ilmuan anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, kelmarin.

Abdul Bari berkata sesiapa sahaja boleh memaklumkan kepada pihaknya jika ada keperluan untuk penglibatan ESSCom dalam aktiviti yang dianjurkan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan ESSCom tidak memaksa mana-mana pusat peranginan untuk memasang alat keselamatan berteknologi tinggi sebagai langkah kawalan keselamatan di premis masing-masing.

Pihaknya juga tidak menyediakan sebarang peruntukan untuk pusat peranginan memasang alat-alat berkenaan.

“Tindakan memasang alat keselamatan berteknologi tinggi ini adalah atas dasar inisiatif premis itu sendiri.

“Kita melihat langkah berkenaan sebagai satu komitmen mereka dan kita hanya melaksanakan saranan untuk pemasangan alat keselamatan di premis mereka.

“Arahan untuk memasang alat berkenaan sepatutnya datang dari pihak berwajib dan ESSCom menggunakan apa sahaja platform yang ada untuk bantu memberi saranan tentang manfaat pemasangan alat keselamatan berteknologi tinggi di pusat-pusat peranginan,” katanya.

Sementara itu Presiden MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata MPN sentiasa bertindak sebagai pihak yang memikirkan dan membantu pembentukan polisi-polisi baharu.

Menurutnya cetusan idea yang terhasil daripada program advokasi berkenaan akan disampaikan kepada kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Dalam kata lain, pembuat dasar dan polisi boleh memikirkan langkah atau pendekatan teknologi baharu serta mengenal pasti pihak yang boleh memberi perkhidmatan berkenaan untuk membantu ESSCom,” jelasnya.

Program Advokasi Ilmuan itu membincangkan tajuk Terjaminkah Keselamatan di Sabah?, yang membariskan ahli panel seperti Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur dan Abdul Bari yang mewakili ESSCom.

Advertisement