Anda di sini

Kurang kepakaran, namun bomba bangga siapkan rumah bantu rakyat

Advertisement

// Oleh Saleman Senin //

 Norhisham menyerahkan bantuan perkakas kelengkapan dapur kepada penerima.

BANTUAN: Norhisham menyerahkan bantuan perkakas kelengkapan dapur kepada penerima.

MESKIPUN kurang kepakaran dalam melakukan kerja-kerja pertukangan namun kejayaan membina rumah di bawah Projek Rakyat Miskin dan menyiapkan dalam tempoh kurang dari masa yang ditetapkan adalah sesuatu yang amat membanggakan bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Betong.

Pengarah JBPM Negeri Sarawak Norhisham Mohamad berkata, langkah kerajaan membantu rakyat di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang disalurkan menerusi pihaknya di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 7 disambut baik setiap anggotanya.

“JBPM telah memulakan langkah untuk membantu dalam melaksanakan pembinaan projek mulai tahun 2012 dan sehingga kini telah membina sebanyak 12 buah rumah dengan binaan baharu di seluruh Sarawak yang fokusnya adalah rumah terbakar.

Daripada jumlah tersebut 10 daripadanya melibatkan pembinaan rumah terbakar dan selebihnya adalah penerima yang kurang mampu untuk membina rumah.

“Sebagaimana projek kali ini, penerima Elon Saat adalah penduduk Kampung Masjid, Betong yang bertuah menerima projek PBR yang dilaksanakan secara total oleh anggota JBPM Betong dengan binaan baharu.

“Secara kiraan kasarnya, pembinaan rumah ini yang dilaksanakan dalam tempoh 50 hari untuk disiapkan meskipun anggota JBPM tiada kepakaran dalam melakukan kerja pertukangan adalah satu penanda aras yang baik bagi pembinaan projek kali ini.

“Pada tahun 2016 ini juga, JBPM telah menerima peruntukan bagi membaiki rumah yang kita telah siapkan sebanyak 20 buah rumah.

“Namun pada tahun 2017, JBPM menerima anggaran awal untuk binaan baharu PBR sebanyak empat buah dan 15 buah bagi pembaikian,” katanya.

Menurut Norhisham lagi, inisiatif ini juga dilihat sebagai usaha mendekatkan bomba dengan masyarakat dan mulai 2012 JBPM telah memfokuskan satu pelaksanaan yang lebih berkesan dengan memikirkan cara dan langkah bagi meneruskan usaha membantu mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran.

Kalau dahulu pihak JBPM hanya membantu memadamkan kebakaran dan memberi laporan tentang insiden yang berlaku, namun kini pihaknya melihat kaedah yang lebih baik dengan bantuan membaiki dan membina rumah yang terlibat dengan musibah kebakaran.

“Sebanyak 45 buah rumah dibina sehingga tahun ini di seluruh Malaysia oleh JBPM dengan kos bernilai RM50,000 untuk Sarawak manakala semenanjung dengan kos RM45,000 yang menelan kos keseluruhan RM1.89 juta.

“JBPM juga telah membaiki sebanyak 208 buah rumah dengan kos RM 2.08 juta di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Rakyat Miskin, NBOS, Kejiranan Indah (My Beautiful Neighbourhood) di Dewan Serbaguna Kampung Masjid di Betong, baru-baru ini.

Tambahnya, anggota JBPM tidak dilatih dalam kerja-kerja pertukangan dan anggota yang terlibat adalah yang mempunyai sedikit kemahiran sendiri untuk membantu.

“Apapun setiap anggota yang terlibat memegang amanah dan tanggungjawab yang besar untuk menyiap dan membantu penerima. Namun berkat semangat setia kawan dan berbakti secara ikhlas dengan tanggungjawab besar ke atas jabatan mereka mampu melaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.

Hadir merasmi majlis tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Betong, Friday Belik. Turut hadir ialah Ketua Bomba Zon Tiga Mohamad Afiq Roslan, Ketua Balai Bomba Betong James Whelan Ngang, Ketua Balai Bomba Sri Aman William Baheng, Ketua Balai Bomba Saratok Darul Azreen Md Desa, Pemangku Pegawai Daerah Betong Paimon Fashar, Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Zawawie Rajit, ketua-ketua kaum dan masyarakat.

Advertisement