Anda di sini

Ejen kad pengenalan palsu ditahan

Advertisement

Aktif cari pelanggan yang berminat untuk dapatkan kad pengenalan palsu

 Antara barangan termasuk kad pengenalan palsu dan wang tunai yang dirampas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya selepas melakukan satu operasi khas di sekitar daerah Tawau, semalam. — Gambar Bernama

HASIl RAMPASAN: Antara barangan termasuk kad pengenalan palsu dan wang tunai yang dirampas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya selepas melakukan satu operasi khas di sekitar daerah Tawau, semalam. — Gambar Bernama

TAWAU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 10 individu termasuk dua lelaki tempatan dipercayai dalang sindiket kad pengenalan palsu dalam operasi khas berasingan di sekitar daerah ini, malam kelmarin.

Ketua Pengarah JPN Mohd Yazid Ramli berkata operasi kira-kira 9.30 malam di lokasi pertama di sebuah hotel di bandar itu, berjaya menahan kedua-dua lelaki tersebut.

“Seorang lelaki, 51, yang ditahan dalam sebuah bilik di hotel itu dipercayai aktif menjadi ejen untuk mencari pelanggan atau warga asing yang berminat untuk mendapatkan kad pengenalan palsu untuk digunakan sebagai pengenalan diri dengan bayaran antara RM3,000 hingga RM6,000,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, risikan dan pemerhatian ke atas aktiviti lelaki tersebut telah dijalankan selama dua minggu sekali gus membawa kepada kejayaan penahanan ejen itu.

“Pemeriksaan terperinci di hotel itu akhirnya membongkar kegiatan beliau dengan penemuan 26 keping kad pengenalan palsu yang belum sempat diserahkan kepada pelanggan.

“Turut dirampas adalah sejumlah wang tunai berjumlah RM3,839 yang dipercayai hasil dari kegiatan beliau,” katanya lagi.

Menurut Mohd Yazid ketika lelaki itu ditahan, turut bersama suspek di dalam bilik tersebut adalah seorang wanita warga Filipina yang menggunakan kad pengenalan

palsu sebagai pengenalan diri. “Disyaki wanita ini menjadi pembantu kepada lelaki berkenaan untuk memproses kad pengenalan palsu,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut di parkir hotel, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dengan di atas keretanya ditemukan satu bungkusan plastik berbalut kertas yang mengandungi mata wang Amerika Syarikat berjumlah AS$17,100 serta RM200 yang disyaki palsu.

Dalam pada itu, operasi seterusnya di sebuah perkampungan telah membawa kepada empat penahanan warga Indonesia disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

“JPN turut menahan tiga lagi individu disyaki warganegara Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Yazid berkata operasi itu ditamatkan pada jam 1.30 pagi.

Operasi itu disertai 12 anggota dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara diketuai Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Ibu Pejabat (Putrajaya), Mohamad Yusri Hashim, serta 20 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia Tawau.

Yazid menegaskan JPN akan berterusan melakukan risikan serta pemantauan bagi mengesan dalang, ejen serta sindiket kad pengenalan palsu bagi melumpuhkan aktiviti kes-kes penggunaan kad pengenalan palsu dalam kalangan warga asing di negara ini. — Bernama

Advertisement