Anda di sini

Skim PPBP: Pesakit tidak mampu bayar tetap dirawat

Advertisement

Kementerian akan pastikan tidak berlaku pengabaian

KUALA LUMPUR: Pesakit yang tidak mampu membayar caj dan kos perkhidmatan di bawah Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP) akan tetap dirawat dan tidak akan diabaikan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

“Kementerian akan memastikan bahawa doktor pakar di hospital kerajaan akan melaksanakan tugasan mereka merawat pesakit biasa yang tidak mampu membayar sebelum merawat pesakit yang mengambil skim ini.

“Oleh itu, tidak wujud istilah pengabaian terhadap pesakit yang tidak mampu membuat pembayaran kerana doktor perlu mengutamakan tugas hakiki mereka,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen di sini semalam.

Beliau mengulas dakwaan kemungkinan berlaku pengabaian terhadap pesakit biasa di hospital kerajaan yang tidak mampu membayar berikutan pelaksanaan skim PPBP yang akan diperluaskan di lapan buah hospital kerajaan Januari depan.

Ketika ini, skim PPBP tersebut hanya diamalkan di Hospital Selayang dan di Hospital Putrajaya dan akan diperluaskan di Hospital Besar Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Temerloh, Ipoh, Kuala Lumpur, Klang dan Seremban.

Dr Hilmi turut memberi jaminan bahawa kualiti rawatan kesihatan pesakit di hospital kerajaan tidak akan terjejas walaupun dengan pelaksanaan skim tersebut.

Jelasnya, melalui skim itu, doktor pakar di hospital kerajaan juga mempunyai had tertentu dalam mengendalikan rawatan kepada pesakit dengan jumlah tidak boleh melebihi separuh daripada rawatan kepada pesakit biasa yang tidak mampu membayar.

Menurutnya lagi, pelaksanaan skim itu juga dapat mengelakkan penghijrahan doktor pakar di hospital kerajaan ke hospital swasta yang menawarkan gaji yanglebih lumayan.

“Dengan skim ini kita memberi peluang kepada mereka (doktor pakar di hospital kerajaan) untuk mendapat tambahan pendapatan yang hampir sama jika mereka berkhidmat di hospital swasta.

“Ini juga bagi mengatasi masalah peletakan jawatan doktor pakar di hospital kerajaan kerana dilaporkan setiap tahun hampir 150 doktor pakar yang meletak jawatan dan hanya 400 kemasukan doktor baharu. Jadi yang kekal tidak banyak,” katanya. — Bernama

Advertisement