Anda di sini

Sambutan ‘Winter Solstice’ hambar akibat gangguan bekalan air

Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiap tahun menjelang perayaan ‘Dong Zhi’ atau Winter Solstice, Goh Yih Weng, 28, akan berkumpul bersama keluarganyamenyediakan juadah ‘Tang Yuan’ iaitu sup halia berisi bola beras pulut, di kediamannya di Klang.

Bagi masyarakat Cina, Tang Yuan merupakan juadah wajib ketika perayaan Dong Zhi yang melambangkan kesatuan bersama anggota keluarga sebulan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

Namun, perayaan Dong Zhi pada tahun ini agak hambar buat Goh sekeluarga kerana mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk menyediakan sendiri juadah itu akibat gangguan bekalan air yang dialami sejak Isnin lalu.

“Penyediaan juadah Tang Yuan dan kerja memasak memerlukan bekalan air yang mencukupi, namun pada tahun ini kami tidak melakukannya kerana mahu menjimat bekalan air yang disimpan sehari sebelum berlaku gangguan bekalan.

“Meskipun dapat berkumpul bersama-sama dengan keluarga menikmati makan malam besar di restoran, namun kami agak kecewa kerana tidak dapat menyediakan sendiri juadah Tang Yuan pada tahun ini kerana tiada bekalan air di rumah,” katanya kepada Bernama.

Pengurus Khidmat Pelanggan Kathrin Kwek, 32, berkata selepas pengumuman gangguan bekalan air pada Ahad lepas, beliau yang tinggal di Subang Jaya mula mengumpul air dalam beberapa tong besar untuk kegunaan harian.

“Oleh kerana minggu ini merupakan ‘Festive Week’ iaitu Dong Zhi dan Krismas, kami perlu menggunakan kuantiti air yang banyak sama ada untuk kegunaan harian mahupun untuk memasak.

“Namun demikian, kami perlu menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat kerana bilangan anggota keluarga yang ramai di rumah saya… agak tertekan juga namun apa boleh buat dah tiada air,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan Gombak dan Ampang mendapati restoran, kedai dobi dan kiosk cuci kereta masih beroperasi seperti biasa meskipun mengalami gangguan bekalan air.

Pencuci kereta S. Kumar, 23, berkata pihaknya mempunyai simpanan air di tangki besar yang mencukupi untuk membolehkan perniagaan mencuci kereta dapat beroperasi seperti biasa.

Namun katanya, berbanding dengan waktu beroperasi selama 24 jam, perkhidmatannya hanya dibuka dari 10 pagi hingga 4 petang sahaja disebabkan gangguan bekalan air.

“Kami tidak boleh beroperasi 24 jam kerana bimbang air tidak mencukupi, jadi kami hanya membuka sampai 4 petang sahaja,” katanya.

Pengusaha gerai kuih-muih di Wangsa Maju Mohd Hafizuddin Mohd Yusof, 34, berkata kuantiti kuih-muihnya yang dihasilkan terpaksa dikurangkan kerana gangguan bekalan air sejak Isnin lalu.

“Sebelum ini saya jual 80 hingga 100 kuih tapi sekarang hanya boleh 50 sahaja kerana mahu menjimatkan bekalan air yang disimpan di tangki rumah dan tong-tong air,” katanya.

Gangguan bekalan air adalah berikutan kerja penyelenggaraan Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor yang menyebabkan loji-loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat beroperasi.

Ia menjejaskan pengguna di kawasan Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Kerja senggaraan TNB itu siap dilaksanakan semalam mengikut jadual dan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3 kini beroperasi sepenuhnya.

Tempoh gangguan pada asalnya dijangka berlaku sehingga malam ambang Hari Krismas namun usaha kini dibuat untuk memendekkan tempoh berkenaan. — Bernama

Advertisement