Anda di sini

Penoreh bimbang kenaikan harga getah undang banyak kes kecurian

Advertisement

POKOK SENA: Harga getah yang kini meningkat sepatutnya melegakan kebanyakan penoreh, tetapi mereka bimbang kerana kenaikan itu mengundang kes kecurian getah skrap.

Roshidi Mat Isa, 38, berkata kira-kira 65 kilogram getah skrap di kebunnya di Felda Bukit Tembaga di sini dicuri petang kelmarin menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM260 selepas penat menoreh sejak empat hari lalu.

Kedudukan kebun yang hampir dengan jalan raya menyebabkan ia mudah menjadi sasaran pencuri, katanya.

“Pagi ini (semalam) saya datang ke kebun untuk mengutip hasil namun terkejut melihat getah skrap di dalam bekas hilang dicuri dipercayai oleh penagih dadah di sekitar kawasan ini,” katanya kepada Bernama.

Roshidi berkata, kes kecurian mula menjadi-jadi sebaik harga komoditi itu naik melebihi RM4 sekilogram setelah sekian lama berada pada paras harga RM2 ke RM2.30 sekilogram sejak 2012.

Tambahnya, kejadian sama pernah berlaku apabila harga getah mencecah RM7 hingga RM8 sekilogram pada 2010 hingga 2011 dan yakin jika kenaikan harga terus berlaku episod sama akan berulang.

“Inilah masalah yang merungsingkan penoreh getah. Bila harga turun kami kesempitan, bila harga naik, kami berdepan pula dengan pencuri. Kasihanilah kami kerana ini sahajalah hasil pendapatan utama kami untuk menyara keluarga,” katanya.

Bagi Mohd Musafir Haron, 62, pula walaupun harga getah naik, pekebun tetap rasa gelisah kerana kenaikan itu berlaku ketika cuaca mula memasuki musim tengkujuh.

“Saya mempunyai hampir tiga hektar kebun getah di FELDA ini, tetapi tidak dapat menoreh sejak Ahad lalu kerana hujan, saya berharap cuaca kembali baik agar kami dapat menoreh untuk mencari duit lebih,” katanya.

Bagaimanapun, beliau dan penoreh getah lain di FELDA itu tetap rasa bersyukur atas kenaikan harga bahan komoditi itu yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos hidup yang tinggi pada masa ini. — Bernama

Advertisement