Anda di sini

Kit simulasi MyTest bantu calon lulus ujian teori memandu berkomputer

Advertisement

PUTRAJAYA: Calon bagi Ujian Teori Memandu Berkomputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini boleh mendapatkan kit simulasi ujian berkenaan iaitu kad MyTest pada harga RM10 bagi meningkatkan peluang untuk mereka lulus.

Kad berkenaan yang boleh didapati di sekolah memandu sekitar Kuala Lumpur dan Selangor buat permulaan mengandungi tutorial yang interaktif, 500 soalan teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) atau 10 kali ujian percubaan, waktu sebenar masa ujian, melihat semula jawapan yang salah dan boleh digunakan di komputer, tablet dan telefon pintar.

Calon-calon hanya perlu membeli kad berkenaan dan goreskan nombor pin yang tercatat  pada kad itu untuk digunakan apabila mengakses laman sesawang www.jpjlink.com.

Simulasi ujian yang terdapat dalam kad MyTest turut memuatkan ujian buta warna selain mempunyai versi bahasa Inggeris.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Seri Nadzri Siron ketika ditemui pemberita berkata kit berkenaan sesuai untuk generasi sekarang yang banyak menggunakan telefon pintar dalam kehidupan seharian.

Nadzri sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pengerusi Koperasi JPJ Wilayah Persekutuan Bhd Mohammad Suhaimie Ismail dan Pengerusi Institut Memandu Malaysia Bhd (KOPIMA), Mat Aris Bakar mengenai penggunaan kit MyTest  bagi calon ujian memandu di Kementerian Pengangkutan di sini semalam.

Ujian Teori Memandu Berkomputer merupakan prasyarat untuk mendapatkan lesen memandu dan untuk lulus calon perlu menjawab 42 daripada 50 soalan dengan betul.

Kegagalan dalam ujian teori memandu berkenaan memerlukan para calon menduduki semula ujian  itu dengan bayaran RM19.

Mohammad Suhaimie berkata kit My Test telah diuji kepada seorang calon Ujian Teori Memandu Berkomputer yang pernah gagal sebanyak tujuh kali dan berjaya lulus setelah mengikuti tutorial dan menjalani ujian latihan dalam kit simulasi berkenaan. — Bernama

Advertisement