Anda di sini

Kesan darah pada tong dram timbul syak

Advertisement

Bekas tertuduh kedua kes bunuh Kevin Morais syak sesuatu yang tidak kena berlaku

KUALA LUMPUR: Bekas tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena telah berlaku selepas melihat kesan darah mengalir pada sebuah tong dram.

G.Gunasekaran, 48, berkata dia bertanyakan perkara itu (kesan darah) kepada S. Ravi Chandaran, tertuduh keenam dan pakar patalogi Kolonel Dr K. Kunaseegaran, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan itu namun kedua-dua tertuduh yang merupakan rakannya itu, hanya memintanya supaya tidak masuk campur.

“Pada 5 Sept 2015, saya terima panggilan daripada Ravi Chandaran mengatakan ada orang buat kacau di kedai saya, saya terus pergi ke kedai dengan kereta saya.

“(Apabila sampai) saya nampak S. Nimalan (tertuduh kelima) berada berdekatan tong. Mereka tunjuk tong dram dan saya nampak ada kesan darah mengalir. Saya sudah menggigil dan memang terasa takut dengan apa yang saya lihat.

“Saya dengan suara yang tinggi tanya, apa yang kamu semua telah buat, apa yang ada di dalam tong ini, saya kata saya tak mahu masuk campur dalam hal ini,” katanya sambil menambah dia kemudian terus beredar dari kedai makannya itu.

Gunasekaran berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, dalam perbicaraan hari ke-37 kes pembunuhan Kevin Morais.

Gunasekaran yang merupakan saksi pendakwaan ke-54 dipanggil menjadi saksi selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan Kevin Morais. Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, kelmarin.

Dia berkata selepas beredar dari kedainya dia menerima panggilan daripada Dr Kunaseegaran memberitahu mahu ke kedainya namun saksi itu meminta Dr Kunaseegaran tidak datang ke kedai tetapi bertemunya di sebuah stesen minyak Petronas di Subang Jaya.

“Saya ke Petronas, dia datang dan saya ceritakan semua kejadian tadi (kesan darah pada tong). Dalam keadaan tangan saya menggigil saya cerita semua dan saya beritahu takut terjadi sesuatu perkara yang tidak boleh diterima. Saya beritahu saya syak ada sesuatu berlaku pada seseorang.

“Reaksi (Dr Kunaseegaran) tenang dengan senyuman dia beritahu, ‘tak apa, you cool down, relax dulu, saya bawa you jalan-jalan’. Dia belikan saya beer untuk tenangkan saya. Dia pegang tangan saya yang menggeletar,” katanya.

Mengimbas kembali kejadian itu, Gunasekaran berkata pada 4 Sept 2015, dia pergi membeli sebuah tong dram bersama Nimalan selepas menerima arahan daripada Ravi Chandaran.

“(Selepas beli tong) kami masukkan ke belakang kereta Mitsubishi Triton dan bawa balik. Nimalan hantar saya ke kedai semula dan tong diletak berhampiran kedai saya, saya tanya kenapa tong ini diletak di sini, dia cakap nanti petang ambillah,” katanya sambil memberitahu Nimalan beredar dari situ manakala dia meneruskan kerja pengubahsuaian kedainya bersama seorang pekerja lelaki.

Gunasekaran berkata tidak lama kemudian Ravi Chandaran menghubunginya memaklumkan mahu ke kedainya namun saksi itu memberitahu dia mahu keluar untuk membeli konkrit simen untuk ditabur di hadapan kedainya yang sentiasa becak dan apabila dia pulang ke kedai dia melihat Ravi Chandaran dan Nimalan sudah berada di kedainya.

“Apabila lori tabur simen di hadapan kedai, kami (Gunasekaran dan pekerjanya) ratakan dan Ravi Chandaran minta kami masukkan simen ke dalam tong dram,” katanya yang memberitahu mereka kemudian beredar dan tong dram itu dibiarkan di hadapan kedainya supaya simen itu kering.

Saksi itu berkata pada 6 Sept 2015,  Dr Kunaseegaran sekali lagi mengajaknya keluar dan mereka pergi ke Banting dan dalam perjalanan itu Dr Kunaseegaran menunjukkan satu gambar kereta terbakar daripada telefon bimbitnya.

“Dia tanya saya ‘kamu tahu ke kereta siapa ini? Dia kata ‘you tahu tak, ada seorang timbalan pendakwa raya (TPR) sudah hilang. Ini kereta dia’. Saya tanya siapa?. Dr Kunaseegaran kata you tak kenal TPR saya, Kevin Morais?

“Masa tu saya syak semua kejadian ini bersangkut paut. Saya pernah pergi kes rasuah Dr Kunaseegaan di Mahkamah Shah Alam. Saya tanya dia, ada ke you sangkut paut dengan apa-apa yang berlaku semalam dan kelmarin, dia hanya senyum dan kata ‘you jangan ambil tahu, you buat kerja pengubahsuaian kedai you sahaja,” katanya.

Kepada soalan Saiful Edris adakah Gunasekaran bertemu Ravi Chandaran pada 6 Sept tersebut, saksi itu berkata “ada tapi tidak ingat tarikh”.

Katanya dia juga ada bertanyakan banyak soalan kepada Ravi Chandaran namun lelaki itu turut memberitahunya supaya tidak ambil tahu dan buat ubah suai kedai sahaja.

Lima lelaki – R.Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M.Vishwanath, 26; Nimalan, 23, dan Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 17 Jan depan. — Bernama

Advertisement