Anda di sini

Jamal nak ‘tumpang’ mandi di bangunan SUK Selangor

Advertisement

Desak MB selesai segera kemelut air tanpa perlu tuding jari

SHAH ALAM: Dengan hanya bertuala, membawa gayung, sabun dan berus gigi, Datuk Seri Jamal Md Yunos ke bangunan utama pentadbiran kerajaan Selangor di sini semalam kerana ingin ‘tumpang’ mandi.

Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu itu mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana kediamannya terputus bekalan air sejak tiga hari lalu.

Beliau tiba di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, yang turut menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor, kira-kira jam 9.40 pagi tetapi telah dihalang daripada memasuki bangunan itu oleh pengawal keselamatan.

“Tiga hari rumah saya tidak mempunyai bekalan air, saya tak mandi sebab tiada air di rumah saya di Ampang… surau berhampiran (kawasan kediaman) juga tiada air.

“Saya hanya datang untuk menumpang mandi, kalau nak menumpang mandi di bilik pejabat MB (Menteri Besar) tidak boleh, benarkan saya mandi di tandas bawah (bangunan) saja… sekiranya perlu bayar (untuk mandi) saya akan bayar,” katanya di hadapan pintu utama bangunan tersebut.

Dalam pada itu, Jamal turut mendesak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertanggungjawab menyelesaikan segera kemelut air yang berlaku di negeri itu tanpa perlu menuding jari kepada pihak lain.

Beliau meminta kerajaan negeri tidak mempolitikkan isu air yang dilihat turut memberi kesulitan kepada rakyat Selangor.

“Akibat tiada bekalan air berterusan di Selangor rakyat menderita… seperti hari ini (semalam) sepatutnya masyarakat Cina menyambut Dong Zhi dan mereka patut sambut dengan makan di restoran bersama keluarga… tapi kalau restoran pun tutup sebab tiada air, nak sambut macam mana.

“Kerajaan Selangor juga jangan hipokrit dan bermain politik berkaitan isu air ini dengan menuduh pihak lain termasuk kerajaan BN (Barisan Basional)… sampai bila di Selangor perlu ada masalah sebegini, tiada air bukan perkara mudah,” katanya.

Gangguan bekalan air itu secara berperingkat sejak jam 8 pagi Isnin lepas berikutan kerja penyelenggaraan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor, mengakibatkan loji-loji rawatan air utama ke kawasan Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat beroperasi.

Ia menjejaskan 3.8 juta pengguna di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur. Tempoh asal gangguan dijadualkan sehingga Sabtu, sehari sebelum sambutan Krimas.

Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaraan itu sudah selesai dalam tempoh 16 jam dan ada kawasan sudah mula mendapat bekalan air sejak kelmarin. — Bernama

Advertisement