Anda di sini

Masyarakat turut main peranan penting bendung jangkitan HIV/Aids

Advertisement

 Ronald diiringi Christina melawat pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan pada sambutan Hari Aids Sedunia 2016 peringkat negeri di pekan Beluran.

BENDUNG BERSAMA: Ronald diiringi Christina melawat pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan pada sambutan Hari Aids Sedunia 2016 peringkat negeri di pekan Beluran.

BELURAN: Masyarakat memainkan peranan penting dalam membendung jangkitan HIV/Aids terutama dalam usaha menurunkan jangkitan baharu.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kesedaran dan pengetahuan yang ada akan dapat memperkasakan masyarakat dan individu dalam memastikan tindakan pencegahan sewajarnya dapat diambil dalam membendung jangkitan HIV/Aids.

Katanya di Malaysia, sepanjang tempoh Januari hingga September tahun lepas, sebanyak 2,455 kes baharu jangkitan HIV/Aids dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan.

Menurutnya secara amnya, jangkitan HIV/Aids di negara ini berjaya dikurangkan walaupun epidemik itu kekal mendatar sejak 2010 dan dijangka akan terus mendatar sehingga 2030 dengan aktiviti pencegahan dan kawalan sedia ada.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, ia bermakna anggaran sebanyak 3,000 kes baharu HIV/Aids akan terus dilaporkan setiap tahun sehingga 2030 jika tiada tindakan peningkatan dilakukan.

“Justeru, kita harus ke hadapan dan mengambil inisiatif baharu dalam usaha berterusan mengekang jangkitan HIV,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Aids Sedunia 2016 peringkat negeri di pekan Beluran pada Sabtu lepas.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Ronald berkata, membendung Aids bukan satu tugas yang mudah tetapi dengan kepimpinan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak, impian boleh menjadi kenyataan.

Menurutnya kerajaan pada dasarnya akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen dalam menangani HIV/Aids, malahan akan terus menjadi penyumbang dana terbesar dalam membiayai pelaksanaan program pencegahan dan kawalan HIV.

Beliau berkata kerjaaan mengalu-alukan penglibatan yang lebih aktif dan sumbangan dana yang lebih bermakna dari badan korporat khususnya kepada pertubuhan bukan kerajaan dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/Aids.

 

Advertisement