Anda di sini

Utamakan keharmonian dan perpaduan: Sapawi

Advertisement

SIPITANG: Pemimpin agama di negeri ini berperanan besar sebagai ejen perpaduan membolehkan rakyat negara ini meraikan perayaan masing-masing dengan selesa dan harmoni.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata, rakyat negara ini tidak perlu berasa bimbang untuk meraikan perayaan keagamaan masing-masing.

“Rakyat negara ini mengutamakan keharmonian dan mahu terus menikmati kemakmuran dan inilah yang mendorong kita untuk memperkukuhkan persefahaman serta perpaduan yang ada,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan Krismas kepada Ketua-Ketua Gereja Pastor dan Diakon kawasan Parlimen Sipitang di sini.

Turut sama menyampaikan sumbangan kepada 44 gereja tersebut termasuklah ADUN Sindumin Datuk Ahmad Bujang dan Ketua Pemuda UMNO Sabah merangkap Ketua Pemuda UMNO Sipitang Yamani Hafez Musa serta turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Pegawai Pembangunan Masyarakat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh serta Pengerusi Gereja-Gereja Sipitang Jospeh D Sirup dan Pengerusi Gereja SIB Sipitang Martin Paul.

Sapawi berkata, persefahaman dan perpaduan itulah juga yang membolehkan rakyat tanpa mengira anutan agama turut sama-sama meraikan perayaan yang disambut.

Katanya, keunikan dan keistimewaan yang dimiliki oleh rakyat negara ini tidak dinikmati oleh rakyat negara lain.

“Semua ini adalah kerana kepimpinan negara dan kita sebagai rakyat Malaysia mahukan keharmonian dan kemakmuran yang berterusan,” katanya lagi.

Sambil mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada semua penganut agama Kristian khususnya di Parlimen Sipitang, Sapawi melahirkan harapan agar sambutan perayaan itu memperkukuhkan dan memantapkan persefahaman serta perpaduan yang ada.

Menurutnya biarpun Islam menjadi agama rasmi negara ini namun penganut agama lain tetap dihormati.

“Sejarah dan apa yang berlaku di negara lain sudah cukup memberikan pengajaran dan kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya dan menambah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi meletakkan persefahaman dan perpaduan antara kaum sebagai perkara yang amat penting.

Sapawi berkata, Kerajaan BN juga tidak mengamalkan sikap pilih kasih dan setiap rakyat tanpa mengira anutan agama mahupun kaum tetap diberikan perhatian.

Katanya, dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan adanya sikap pilih kasih sebenarnya hanya mahu memecahbelahkan perpaduan dan persefahaman antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, rakyat perlu bersyukur dengan nikmati yang dirasai dan wajar memastikannya terus berkekalan serta berpanjangan sambil menambah golongan gereja berperanan mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum dan menolak golongan ekstrem.

Katanya, rakyat perlu menolak segala anasir yang cuba memusnahkan segala keharmonian serta keselesaan yang dinikmati.

“Kita perlu sedar dalam menikmati keharmonian, kemakmuran dan keselesaan itu, ada pihak tertentu cuba melaga-lagakan kita sesama sendiri, perkara inilah yang harus kita sedari dan harus kita tolak dan halang,” katanya lagi.

Advertisement