Anda di sini

Kerajaan sedia timbang cadangan pewujudan Pusat Kebudayaan Warisan Masyarakat Brunei

Advertisement

MENUMBOK: Kerajaan negeri Sabah sedia mempertimbangkan cadangan pewujudan Pusat Kebudayaan Warisan Masyarakat Brunei bagi memelihara dan mengembangkan seni dan budaya etnik tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan berusaha memenuhi keperluan dan permintaan rakyat khususnya menerusi persatuan.

“Kita maklum bahawa masyarakat Brunei terkenal sebagai etnik juga berpegang kuat kepada amalan budaya, kesenian dan adat bangsa yang diwarisi sejak dahulu lagi.

“Justeru, kerajaan negeri akan memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk pembinaan bangunan pusat kebudayaan ini.

“Kita sedia mendengar denyut nadi rakyat, memenuhi apa juga keperluan khususnya dalam aspek seni dan warisan sesuatu kaum yang perlu dipertahankan dan dipelihara,” ujarnya.

Musa menyatakan demikian ketika memberi respons kepada cadangan yang dikemukakan Timbalan Presiden Persatuan Melayu Brunei Sabah (PMBS), Datuk Ag Sahak Awang Salleh pada Majlis Perasmian Pesta Gambus Ke-17 Peringkat Negeri di sini, kelmarin.

Menurutnya, pemilihan Daerah Kecil Menumbok sebagai tuan rumah amat bertepatan memandangkan masyarakat Brunei di kawasan berkenaan terkenal dengan kegigihan mereka dalam pelbagai bidang khasnya dalam industri makanan, pertanian dan perikanan secara turun-temurun.

“Pemilihan pekan Menumbok ini juga sesuai dengan kedudukannya sebagai daerah penghubung dengan Wilayah Persekutuan Labuan dan Negara Brunei Darussalam bagi membolehkan para pengunjung meraikan bersama Pesta Gambus pada tahun ini.

“Tema ‘Gambus Instrumen Perpaduan’ adalah usaha berterusan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang yang turut dijalankan Badan Bukan kerajaan (NGO) seperti PMBS.

“Malah, usaha ini dapat mewariskan budaya dan kesenian bangsa kepada generasi kini dan masa hadapan.

“Ia pasti akan dapat menghidupkan warisan kesenian dan budaya yang bakal menyumbang kepada sumber ekonomi, pelancongan dan kekuatan perpaduan rakyat di negeri ini,” jelas beliau.

Menurutnya, penganjuran Pesta Gambus pada tahun ini membawa banyak pembaharuan dari segi corak pelaksanaanya yang fokus kepada pengukuhan amalan budaya masyarakat Brunei.

Antaranya menerusi Bengkel Khat, kerohanian melalui Malam Kasih Junjungan, sukan rakyat, aktiviti kebudayaan, dan pameran makanan serta kemahiran kerja tangan dengan persembahan Gema Gambus sebagai acara kemuncaknya.

Advertisement