Anda di sini

JKJR Sabah laksana 253 program keselamatan jalan raya sepanjang 2016

Advertisement

KOTA KINABALU: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah sudah melaksanakan 253 program keselamatan jalan raya berimpak tinggi sepanjang tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 11.3 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 223 program.

Pengarahnya Herdiansah Abdul Karim berkata, pencapaian sedemikian amat memberangsangkan yang mana kunci kejayaan JKJR negeri ini adalah dengan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru secara sepenuhnya.

“Bahkan, kita juga meyakinkan sektor korporat untuk bersama-sama dengan kita dalam memperjuangkan agenda keselamatan jalan raya di negeri ini.

“Jadi kita akan terus melaksanakan program secara bersepadu bersama rakan strategik dan agensi korporat  bagi meminimumkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di Kota Kinabalu yang menjadi mencatat angka kematian tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Krismas dan Cuti Sekolah 2016, di sini kelmarin.

Herdianshah berkata, usaha itu juga bertepatan dengan peningkatan kadar kematian pada 2015 akibat kemalangan jalan raya ketika musim perayaan sebanyak 38 kes jika dibandingkan 29 kes pada 2014.

Selain itu beliau berkata, pihaknya merancang untuk melaksanakan kempen berkenaan di Lahad Datu ekoran daerah itu  juga mencatat statistik tertinggi kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Kita akan terus memberi fokus kepada daerah yang mencatat bilangan kematian tertinggi di seluruh Sabah, dan cara sebegini sahaja kita dapat mengolah sumber yang ada daripada rakan strategik kita,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agar lebih banyak agensi swasta yang akan turut sama terlibat dalam usaha sedemikian dan menjadikannya sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Terdahulu, kempen yang berlangsung kelmarin turut melibatkan Petron Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, PUSPAKOM dan beberapa syarikat korporat yang lain.

Advertisement