Anda di sini

Penduduk kampung mohon pemberian geran disegerakan

Advertisement
 Masly (duduk, enam kiri) bersama dengan wakil JTU dan penduduk Kg Bongol semasa sesi taklimat diadakan di kampung itu.

SEGERAKAN GERAN: Masly (duduk, enam kiri) bersama dengan wakil JTU dan penduduk Kg Bongol semasa sesi taklimat diadakan di kampung itu.

Berikutan tindakan sebuah syarikat mohon tanah adat 3,000 ekar

KOTA KINABALU: Tindakan sebuah syarikat memohon tanah seluas 3, 000 ekar di Jalan Ranau-Tamparuli menyebabkan penduduk di tujuh kampung terlibat merayu kepada kerajaan supaya tidak meluluskan permohonan berkenaan.

Penduduk di kesemua kampung terlibat berharap agar kerajaan akan mempercepatkan permohonan pemberian geran tanah adat di kampung-kampung terlibat agar status tanah itu jelas berpenghuni dan bukan tanah lapang yang tidak mempunyai perkampungan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bongol, Tamparuli Masly Dangku berkata, isu permohonan tanah oleh sebuah syarikat itu dikemukakan sejak 1995 lagi dan apabila bantahan dibuat, permohonan berkenaan tidak diteruskan.

Namun, selepas 21 tahun selepas permohonan kali pertama dikemukakan, syarikat yang sama memohon sekali lagi tanah seluas 3, 000 ekar itu. Walhal, tanah yang dipohon sudah menjadi penempatan ribuan penduduk sejak dahulu lagi.

Kampung yang terlibat adalah Kampung (Kg) Bongol, Kg Simpangan Lama, Kg Teginambur Doyog; Kg Turongonon Rungus Nahab; Kg Rungus Nahab; Kg Moingob dan Kg Sinalapak.

Berikutan adanya permohonan terbaharu yang dikemukakan pada November lalu itu, penduduk dari tujuh kampung terlibat sekali lagi mengemukakan bantahan di Mahkamah Anak Negeri.

Susulan surat bantahan yang dikemukakan pada 14 Disember, Pegawai Jabatan Tanah & Ukur (JTU) cawangan Tuaran melakukan pemantauan di kawasan terlibat pada Khamis (15 Disember) lalu.

Hasil pemantauan pegawai JTU, kawasan tanah yang dipohon menempatkan perkampungan yang lengkap dengan bangunan sekolah, balai raya, bekalan elektrik serta jalan raya. Kawasan itu juga menjadi tapak perkuburan warisan nenek moyang penduduk di situ.

Selain itu, kawasan berkenaan juga menjadi tapak pertanian dan kawasan penanaman getah yang diusahakan oleh penduduk sejak dari zaman dahulu lagi.

Langkah menjalankan pemantauan dan memberi taklimat kepada penduduk di tujuh kampung terlibat amat baik. Ia membolehkan penduduk faham bahawa JTU masih belum meluluskan permohonan syarikat itu. Ia masih dalam proses permohonan.

Masly berkata, berikutan permohonan terbaharu yang dikemukakan, penduduk tujuh kampung merayu agar kerajaan memberi keutamaan kepada penduduk dalam pemberian geran dan bukan kepada pihak luar yang cuba menceroboh kawasan yang sudah lama mereka duduki.

Penduduk memohon agar pihak luar tidak menceroboh kawasan tanah adat mereka; semua penduduk kampung membantah sekeras-kerasnya permohonan dibuat Tunas Kaya Sdn Bhd ini dan mana-mana pihak yang cuba menceroboh kawasan tanah adat yang dihuni oleh masyarakat kampung sejak berzaman

Penduduk kampung amat berharap agar isu tanah itu dapat diselesaikan dengan segera bagi memberi jaminan kepada penduduk bahawa tanah adat itu tidak akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang ingin mengambil tanah yang sudah menjadi penempatan mereka sejak zaman nenek moyang.

Masly berkata, penduduk juga berharap proses menyukat tanah adat setiap kampung terlibat dapat dilakukan dengan kadar segera.

Advertisement