Anda di sini

Long Anap perlu penempatan baharu untuk menangani peningkatan populasi

Advertisement

ULU BARAM: Penduduk Kampung Long Anap memerlukan penempatan baharu memandangkan populasi semakin bertambah.

Ketua Kampung Long Anap Anthony Belarek Sagan berkata, kawasan dicadang dijadikan kawasan penempatan baharu berdekatan lereng bukit menuju ke Kampung Long Anap dengan keluasaran empat ekar.

“Kawasan berkenaan dimiliki tiga pemilik dan dilihat kawasan paling strategik.

“Kita sudah berbincang mengenai perkara tersebut bersama tiga pemilik tanah. Mereka bersetuju memindah nama mereka selepas bayaran pampasan diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Kesyukuran Pelantikan Ahli Majlis Daerah Marudi Kaunselor Peter Pit Sepang dihadiri Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau di Kampung Long Anap, Ulu Baram baru-baru ini.

Anthony turut berharap agar kerajaan dapat mempertimbang permohonan penduduk kampung memberi bayaran pampasan tanah kepada tiga pemilik tanah di lereng bukit berkenaan.

Menurutnya, kini di Kampung Long Anap, terdapat  60 rumah terbahagi kepada tiga baris rumah panjang termasuk beberapa persendirian didirikan di tanah seluas tujuh ekar.

Namun bagi kawasan penempatan baharu itu, seramai 25 keluarga baru telah menghantar permohonan kepada saya untuk membina rumah.

“Ini menunjukkan bilangan penduduk Long Anap semakin bertambah kerana pasangan yang berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri mahu mendirikan rumah mereka sendiri di kampung. Ini satu petanda yang baik,” ujarnya.

Anthony berkata tahun depan beliau akan membuat susulan mengenai perkara tersebut dengan wakil rakyat kawasan serta pihak berkaitan bagi mengetahui perkembangan permohonan penduduk kampung.

Beliau menambah, kampung Long Anap juga ada memperuntukkan kawasan tanah seluas empat ekar berdekatan dengan Sungai Batang Baram yang akan digunakan untuk mendirikan sekolah dan klinik.

Anthony juga berkata, jalan raya menuju ke tadika Kampung Long Anap sudah empat tahun rosak dan becak.

“Tahun ini, seramai 10 orang anak-anak kampung bersekolah di tadika tersebut dan setiap hari, mereka terpaksa berulang-alik melalui jalan rosak berkenaan. Saya berharap pihak berkenaan dapat menyalurkan peruntukan untuk membaiki jalan raya berkenaan,” ujarnya.

Menurutnya, kepayahan yang dihadapi murid-murid tadika berkenaan tidak dihadapi oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Long Anap kerana mereka tinggal di asrama.

Advertisement