Anda di sini

Chua gesa syarikat peringkat pertengahan milik wanita sertai program MATRADE

Advertisement

KLANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggesa wanita yang memiliki syarikat peringkat pertengahan (MTC) untuk terlibat dalam program Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong berkata, daripada lebih 100 MTC yang menyertai program yang diwujudkan pada 2014 (Gelombang 1 dan Gelombang 2) itu, hanya tujuh dimiliki wanita.

“Kami menggalakkan semua perniagaan mengambil bahagian dalam program itu dengan syarat mereka menepati kriteria jumlah dagangan, melakukan eksport dan berminat untuk meningkatkan eksport serta menyertai program MATRADE.

“Selain itu, kami mahu lebih banyak syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera menyertai program ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hyrax Oil Sdn Bhd di sini, kelmarin.

Chua berkata, MTC di bawah program peningkatan (Gelombang 1 dan Gelombang 2) meningkatkan eksport mereka sebanyak tujuh peratus tahun ini.

Antara syarikat terlibat adalah daripada sektor kereta, elektrik dan elektronik.

Menurut Chua, program berkenaan adalah contoh usaha mempelbagaikan perniagaan di kalangan syarikat peringkat pertengahan, yang mempunyai pendapatan tahunan antara RM50 juta dan RM500 juta dan sektor pembuatan serta antara RM20 juta dan RM500 juta dalam sektor perkhidmatan.

Beliau berkata, program itu penting bagi membantu mengembangkan syarikat tempatan dengan keupayaan menjadi pemimpin pasaran global.

“Sebelum ini, kementerian mengenal pasti syarikat untuk program tersebut, tetapi pada masa depan ia akan mengambil pendekatan berbeza dengan meminta mereka yang berminat untuk memohon,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, syarikatnya yang menghasil dan memasarkan minyak pengubah, pelincir dan derivatif petroleum mampu meningkatkan eksport sebanyak lima peratus dengan menyertai program MATRADE.

Hyrax Oil menjadi ahli MATRADE sejak tahun 2000 dan terlibat secara aktif dalam program penggalakan perdagangannya.

Mengenai keputusan Myanmar untuk menghentikan penghantaran pekerja ke Malaysia, Chua berkata, kementerian itu masih mengumpul data untuk mengetahui kesannya ke atas industri.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan sudah lama menggalakkan automasi bagi mengurangkan kesan kekurangan pekerja asing di negara ini. — Bernama

Advertisement