Anda di sini

SIRIM lancar dua inisiatif pacu produktiviti, pembangunan PKS

Advertisement
 Abu Bakar (dua kiri) menerima sijil keanggotaan Food 4 Future daripada Ahmad Tajuddin (dua kanan) selepas melancarkan Program Seminar Jaringan Inovasi Food 4 Future dan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM semalam. Turut hadir Naib Presiden Penyelidikan dan Perindustrian SIRIM, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman (kanan). — Gambar Bernama

TERIMA SIJIL: Abu Bakar (dua kiri) menerima sijil keanggotaan Food 4 Future daripada Ahmad Tajuddin (dua kanan) selepas melancarkan Program Seminar Jaringan Inovasi Food 4 Future dan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM semalam. Turut hadir Naib Presiden Penyelidikan dan Perindustrian SIRIM, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman (kanan). — Gambar Bernama

SHAH ALAM: SIRIM Bhd semalam memperkenalkan dua inisiatif strategik, Rangkaian Inovasi Food 4 Future dan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM bagi menggalakkan produktiviti dan pembangunan mampan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berteraskan teknologi serta inovasi.

Rangkaian Inovasi Food 4 Future bertujuan mewujudkan jaringan berasaskan kepercayaan bagi jalinan kolaboratif jangka panjang antara SIRIM dan PKS.

Standard Pengurusan Inovasi SIRIM pula merujuk garis panduan bagi industri perkhidmatan dan pembuatan Malaysia membabitkan kaedah pembangunan pertubuhan inovasi menerusi pembudayaan dan aktiviti inovasi dalam proses yang lebih berstruktur.

Ketika melancarkan inisiatif itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai tepat pada masanya dan sejajar keperluan negara mendapatkan model perniagaan baharu bagi merancakkan kemampanan kolaboratif jangka panjang antara SIRIM dan PKS.

“Saya berasa gembira kerana SIRIM sudah mengambil langkah-langkah proaktif mewujudkan satu Rangkaian Inovasi bertujuan menggalakkan inovasi dalam kalangan PKS. Ini sudah pastinya akan menyumbang secara langsung kepada rantaian industri makanan,” katanya berucap pada majlis itu di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Abu Bakar turut menggesa semua PKS yang hadir pada majlis berkenaan untuk mendapatkan salinan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM bagi rujukan masing-masing serta sebagai panduan pelaksanaan pengurusan teknologi dalam perniagaan mereka.

Beliau juga memuji usaha SIRIM melancarkan Model Inovasi Perindustrian menerusi pakatan strategik SIRIM-Fraunhofer yang menggunapakai prinsip model Fraunhofer dari Jerman dalam penyelidikan gunaan bagi pembangunan PKS.

“Bagi model ini, SIRIM bekerjasama dengan rakan strategik serta industri yang menyediakan perkhidmatan inovasi bidang penyelidikan dan pembangunan selain aspek penembusan pasaran bagi menyemarakkan pertumbuhan PKS,” katanya. — Bernama

Advertisement