Anda di sini

PEMANDU tinjau peluang kongsi pelaksanaan transformasi Malaysia

Advertisement

Susulan kejayaan pelaksanaan program itu di Andhra Pradesh, India

KUALA LUMPUR: Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) kini meninjau peluang di negara-negara Asia Selatan untuk melaksanakan metodologi transformasi Malaysia bagi mencapai pembangunan ekonomi serta tadbir urus.

Ia sebagai menyusuli kejayaan pelaksanaan program berkenaan di Andhra Pradesh, India, hasil permeteraian memorandum persefahaman negeri itu dengan PEMANDU pada Disember 2015 yang membabitkan kerjasama bidang pengurusan prestasi serta pemantauan program-program awam, pendidikan dan perkhidmatan runcit.

Pengarahnya, Ravindran Devagunam berkata agensi kerajaan itu kini dalam peringkat perbincangan dengan negeri-negeri lain di India termasuk Puducherry, Chhattisgarh dan Rajasthan serta pelanggan dari negara lain seperti Sri Lanka dan Bangladesh.

Jelasnya, metodologi transformasi Malaysia itu akan dibuat mengikut keperluan pelanggan antaranya cara serta bagaimana mereka mahu melaksanakan program berkenaan.

“Ia menyamai usaha kita di Andhra Pradesh yang lebih menitikberatkan aspek pembangunan bandar dan tadbir urus.

“Oleh itu, secara amnya selepas itu, apa yang kita mahukan adalah mewujudkan program tadbir urus yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di luar acara Pertemuan Pemimpin Perniagaan Economic Times Asian Business, di sini, semalam.

Selain itu, Ravindran berkata Malaysia mampu mencapai sasaran pendapatan negara kasar (PNK) per kapita sebanyak AS$15,000 sebelum 2020 dengan syarat harga minyak mentah kembali pulih, peningkatan harga komoditi serta pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak lima peratus.

“Kita mencecah angka US$10,500 tahun lepas kerana penyusutan harga minyak. Keadaan dijangka sama kali ini.

“Ini bermakna kita perlu meningkatkan usaha bagi mencapai AS$5,000 lagi dan masih ada beberapa tahun lagi (untuk mencapainya),” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lima peratus pada 2017.

“Angka lima peratus itu akan memberi manfaat dari segi PNK per kapita,” kata Ravindran. — Bernama

Advertisement