Anda di sini

MATRADE: Sektor perkhidmatan tidak tertakluk langkah terbaharu BNM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat- syarikat yang mengeksport produk di bawah sektor perkhidmatan dikecualikan daripada langkah-langkah terbaharu yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan menyasarkan sektor perkhidmatan untuk meningkatkan hasil eksport mereka kepada lebih daripada 40 peratus atau RM195 bilion berbanding RM135 bilion yang direkod pada 2015.

“Dengan mengecualikan sektor tersebut daripada langkah-langkah terbaharu BNM, kita yakin akan dapat membantu merangsang ekonomi,” katanya.

Sektor perkhidmatan merangkumi bidang pembinaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Dzulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat bisnes selama setengah hari dengan penyertaan lebih kurang 500 buah syarikat, kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana.

Majlis tersebut dianjurkan secara bersama antara Matrade dengan BNM.

Taklimat yang bertemakan, ‘Apa yang anda perlu tahu mengenai langkah-langkah forex Bank Negara yang baharu’ bertujuan membantu syarikat tempatan, khususnya pengeksport, memahami langkah-langkah BNM dalam membangunkan pasaran pertukaran wang asing.

Pada 5 Dis, BNM telah mengumumkan langkahlangkah baharu, yang merangkumi liberalisasi dan kelonggaran perlindungan nilai pasaran ringgit dalam negara, memperkemaskan lagi rawatan untuk pelaburan dalam aset mata wang asing, insentif serta rawatan hasil eksport.

Ia memerlukan pengeksport untuk menukarkan 75 peratus daripada hasil mata wang asing mereka kepada ringgit.

Dasar baharu itu diperkenalkan bagi menyeimbangkan semula permintaan dan penawaran di pasaran tukaran asing termasuk mengurangkan kemeruapan ringgit berbanding dolar AS.

Menurut Dzulkifli, BNM tidak mahu memberi tekanan kepada syarikat dengan langkah- langkah baharu tersebut, oleh itu, ia turut menyediakan fleksibiliti dalam membantu mereka.

“Dengan berbuat demikian, syarikat pengeksport tidak akan terjejas apabila menukar dolar mereka kepada ringgit atau sebaliknya.

“BNM juga mahu terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah lokasi yang menarik untuk menjalankan perniagaan dan membantu syarikat-syarikat tempatan dalam mengeksport produk mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement