Anda di sini

Crowe Horwath, Liew & Company Sibu bergabung

Advertisement

Bolehkan kedua-dua syarikat optimumkan perkhidmatan profesional khasnya di wilayah tengah Sarawak

// Oleh Andy Sabang //

 Chie Hong (duduk kiri) menandatangani dokumen sementara (duduk dari kiri) Tiong dan Matthew serta yang lain.

PERJANJIAN BERSAMA: Chie Hong (duduk kiri) menandatangani dokumen sementara (duduk dari kiri) Tiong dan Matthew serta yang lain.

SIBU: Salah sebuah firma perakaunan terbesar di Malaysia, Crowe Horwath telah mengadakan penggabungan dengan Liew & Company Sibu kelmarin.

Majlis menandatangani perjanjian penggabungan itu telah dilakukan di antara pengerusi Sarawak Crowe Horwath Matthew Wong dan pemilik Liew & Company Wong Chie Hong disaksikan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu MPS Datuk Tiong Thai King di sebuah hotel terkemuka di sini.

Tiong semasa berucap pada majlis tersebut berkata persetujuan untuk bergabung adalah untuk membolehkan kedua-dua syarikat mengoptimumkan lagi perkhidmatan profesional mereka terutamanya di wilayah tengah Sarawak.

Dalam masa yang sama ia juga membolehkan pelanggan menikmati sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan secara lebih meluas.

Beliau berkata, sistem tabir urus perdagangan telah berubah mengikut peredaran masa dan selari dengan dunia tanpa sempadan.

Keadaan ini jelasnya telah menuntut para usahawan menjadi lebih berdaya usaha dan cekap dalam menggunakan sumber yang ada dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik.

Dalam pada itu, Crowe Horwath Sarawak adalah salah satu daripada firma perakaunan di Sarawak dan mempunyai pejabat di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta disokong oleh 12 rakan kongsi selain memiliki lebih daripada 300 kakitangan.

Crowe Horwath Malaysia juga merupakan firma perakaunan yang kelima terbesar di Malaysia dengan 12 pejabat di Timur dan Malaysia Barat.

Bercakap lanjut Tiong menjelaskan bahawa Liew & Co Sibu merupakan syarikat perakaunan tempatan yang terkenal dan terbaik di Sibu.

“Kini anda (Liew & Co Sibu) mampu begerak lebih jauh dalam industri profesional ini,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Sarawak Crowe Horwarth Matthew Wong berkata penggabungan itu akan meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan mereka.

Beliau juga berkata profesion perakaunan sedang menghadapi banyak cabaran selain turut berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Selain itu Akta Syarikat 2016 yang akan dilaksanakan dalam sedikit masa dijangka memberikan sedikit kesan kepada sektor perakaunan.

“Apa yang penting kita perlu mengambil langkah proaktif dengan melengkapkan diri kita untuk memberikan perkhimatan terbaik kepada pelanggan,” ujar beliau.

Advertisement