Anda di sini

Shell mulakan pengeluaran minyak dari platform laut dalam Malikai

Advertisement

TLP laut dalam pertama di M’sia, satu-satunya, TLP di luar Teluk Mexico

KUALA LUMPUR: Shell telah memulakan pengeluaran minyak dari Ketegangan Kaki Pelantar Malikai (TLP), yang terletak 100 kilometer dari pantai Sabah.

Syarikat itu dalam satu kenyataan semalam, berkata Malikai merupakan TLP laut dalam yang pertama di Malaysia dan satu-satunya, TLP Shell di luar Teluk Mexico.

Terletak di perairan yang berkedalaman sehingga 500 meter, Malikai merupakan projek laut dalam kedua Shell di Malaysia, menjejaki kejayaan platform Gumusut- Kakap pada 2014.

Malikai dijangka mampu menghasilkan 60,000 tong sehari, merupakan usaha sama antara Shell (35 peratus, sebagai operator), ConocoPhillips Sabah Ltd (35 peratus) dan Petronas Carigali Sdn Bhd (30 peratus).

Projek tersebut menampilkan reka bentuk platform yang berkos efektif dengan menggunakan set penaik atau paip yang menghubungkan pelantar dengan perigi minyak, melalui penggunaan teknologi penggerudian dan kos yang lebih rendah.

Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo berkata Malikai TLP direka dan dibina di Malaysia oleh rakyat negara ini.

“Ia merupakan demonstrasi Shell untuk memacu inovasi dan pembangunan keupayaan laut dalam tempatan bersamasama dengan Petronas.

“Kejayaan di Malikai merupakan kemuncak pencapaian bagi kami, memandangkan Shell sedang meraikan ulang tahun yang ke-125 di Malaysia. Kami akan terus menjanakan kemajuan Malaysia dalam sektor tenaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Huluan Royal Dutch Shell, Andy Brown berkata Malikai menandakan pencapaian yang terpenting kepada Shell termasuk rakan kongsinya iaitu Sabah dan Malaysia.

“Projek ini membuktikan kemampuan kami dalam membangunkan projek-projek laut dalam yang kompetitif dengan memaksimumkan kepakaran global kami,” katanya.

Di peringkat antarabangsa, perniagaan laut dalam Shell menjadi keutamaan kepada pertumbuhan syarikat dan sekarang ini, ia mengeluarkan 600,000 tong bersamaan minyak sehari (boe/d).

Pengeluaran laut dalam Shell dijangka meningkat kepada lebih 900,000 boe/d menjelang awal 2020 daripada telaga yang sudah diterokai dan dibangunkan. — Bernama

Advertisement