Anda di sini

Sedia peluang sama rata kepada OKU, golongan normal

Advertisement
 Mujin (empat kiri) memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis itu. Turut kelihatan Hiroko (tiga kiri), Rowland (empat kanan), Shinsaku (dua kanan) dan tetamu jemputan lain.

KEBAJIKAN: Mujin (empat kiri) memotong reben sebagai simbolik perasmian majlis itu. Turut kelihatan Hiroko (tiga kiri), Rowland (empat kanan), Shinsaku (dua kanan) dan tetamu jemputan lain.

KOTA KINABALU: Kepentingan dan keperluan pendidikan orang kelainan upaya (OKU) tidak ada bezanya dengan golongan normal.

Walaupun golongan berkenaan perlu disediakan bantuan dan kemudahan khusus, ia tetap sama sebagaimana kemudahan dan bantuan yang diperlukan dalam pendidikan orang normal.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Mohamad Noor Wahab berkata Persatuan Rumah Amal dan Perkhidmatan Sabah antara rumah amal yang menyediakan peluang sama rata terutamanya dalam bidang pendidikan dan kemahiran untuk OKU di negeri ini.

Katanya prestasi yang ditunjukkan oleh persatuan berkenaan sepatutnya dicontohi oleh badan-badan amal serta pusat kebajikan yang lain.

“Saya melihat, Persatuan Rumah Amal Sabah adalah pusat kepada sumber golongan OKU berdasarkan perkhidmatan yang mereka sediakan.

“Di sini, kita boleh lihat bantuan dari segi pendidikan awal kanak-kanak, layanan mesra penghuni dan latihan kemahiran.

“Selain itu, OKU turut berpeluang mendapat pekerjaan menerusi program sara hidup berasaskan komuniti yang dilaksanakan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bangunan Beranda Sumbangan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (JACTIM) kepada Persatuan Rumah Amal dan Perkhidmatan Sabah, di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Penolong Pengarah Pembangunan Perancangan dan Polisi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Mujin Durin.

Mohamad Noor berkata sumbangan berkenaan kali kedua disediakan oleh JACTIM kepada persatuan itu selepas bantuan yang pertama diserahkan tahun lepas.

Pihaknya difahamkan bantuan itu adalah hasil sumbangan ahli JACTIM sendiri menerusi Yayasan JACTIM.

Usaha berkenaan katanya menunjukkan keprihatinan komuniti Jepun terhadap kebajikan golongan OKU di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sub Sokongan Persatuan Rumah Amal dan Perkhidmatan Sabah Shinsaku Fuzakawa berkata tahun ini sebanyak RM25,000 dana disediakan Yayasan JACTIM.

Beliau yang juga Jawatankuasa Pertukaran Budaya Antarabangsa (ICE) JACTIM berkata dana terbabit digunakan untuk membina bangunan beranda dan atap bagi menggantikan bangunan kayu sebelum ini.

“Sumbangan yang kecil ini kami harap mampu menjadi penanda aras terhadap JACTIM dalam meneruskan usaha untuk bekerjasama secara erat dengan rakyat Malaysia.

“Ia seiring dengan usaha untuk meningkatkan prospek pembangunan masyarakat sebagaimana yang menjadi objektif utama JACTIM,” katanya.

Turut hadir, Presiden Persatuan Rumah Amal dan Perkhidmatan Sabah Datuk Rowland Chin; Ketua Pejabat Konsulat Jepun di Kota Kinabalu Hiroko Matsuo; Setiausaha Agung JACTIM Kanta Kuno; dan Pengurus Persatuan Rumah Amal dan Perkhidmatan Sabah Jennifer Liew.

Advertisement