Anda di sini

MITI sasar usahawan PKS Bumiputera ceburi perkilangan meningkat 10% menjelang 2020

Advertisement
 Ahmad (tengah) bergambar bersama peserta selepas merasmikan program Outreach MITI dan Agensi di Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu semalam. — Gambar Bernama

UNTUK ALBUM: Ahmad (tengah) bergambar bersama peserta selepas merasmikan program Outreach MITI dan Agensi di Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu semalam. — Gambar Bernama

MARANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan jumlah penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dalam sektor perkilangan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2020 berbanding enam peratus pada masa ini.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan berkata terdapat sebanyak 645,000 PKS di negara ini yang hanya 37 peratus adalah PKS Bumiputera (238,650) dan daripada jumlah itu, hanya enam peratus terlibat dalam sektor perkilangan.

“Selebihnya, banyak yang terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti restoran, kedai runcit dan bengkel membaiki kenderaan.

“Melalui bimbingan daripada agensi kerajaan di bawah kementerian, kita yakin jumlah itu akan meningkat kepada 10 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melawat PRM Foods Marketing Sdn Bhd di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Datuk Hafsah Hashim.

Beliau juga berkata PKS perlu memberi tumpuan kepada tujuh kriteria penilaian melalui konsep Penarafan Daya Saing PKS bagi Peningkatan (SCORE) oleh SME Corp.

“Tujuh kriteria itu ialah kekukuhan kewangan, prestasi perniagaan, sumber manusia, pemerolehan, penerapan teknologi, pensijilan dan kehadiran pasaran.

“Setakat ini, 40,000 daripada 645,000 PKS telah dibuat penilaian SCORE dan bantuan akan diberi kepada mereka mengikut keperluan dan kategori bintang yang diperoleh dalam penilaian itu,” katanya. — Bernama

Advertisement