Anda di sini

MIDA rekod pelaburan RM150 bilion

Advertisement

Dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama Jan-Sept 2016

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM150.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016.

Walaupun jumlah berkurangan 3.7 peratus daripada projek bernilai RM156.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, ia dijangkakan mewujudkan 117,550 peluang pekerjaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan semalam berkata keseluruhan prestasi pelaburan bagi seluruh 2016 mampu bertahan meskipun persekitaran global yang mencabar.

Beliau berkata pelaburan domestik menyumbang 74.8 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak RM112.8 bilion, manakala selebihnya melibatkan pelaburan asing.

“Sektor perkhidmatan menarik bahagian terbesar pelaburan diluluskan, menyumbang 71.9 peratus atau RM108.4 bilion, diikuti sektor pembuatan dengan pelaburan sebanyak RM40.7 bilion atau 27 peratus, manakala sektor utama dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM1.7 bilion atau 1.1 peratus,” katanya.

Menteri itu berkata bagi tempoh Januari-September 2016, nilai pelaburan sektor perkhidmatan meningkat 26.2 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata projek-projek tersebut dijangka mewujudkan 69,660 pekerjaan dengan lebih 95 peratus dalam perdagangan pengedaran, status Koridor Raya Multimedia, hotel dan pelancongan, pendidikan serta penubuhan global.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah projek yang diluluskan susut 3.9 peratus kepada 3,203 berbanding 3,334 projects pada tempoh Januari-September 2015.

Dalam sektor pembuatan pula, beliau berkata pelaburan yang diluluskan bagi sektor tersebut berkurangan 39 peratus bagi tempoh Januari-September daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan adalah dalam produk petroleum termasuk petrokimia (RM9.4 bilion), barangan elektronik dan elektrik (RM7.3 bilion), gas asli (RM3.7 bilion) dan pembuatan makanan (RM3.3 Bernamabilion).

Pelaburan lain adalah dalam kelengkapan pengangkutan (RM3 bilion), produk logam asas (RM3 bilion), produk kimia dan bahan kimia (RM2.7 bilion), mineral bukan metalik (RM1.7 bilion), serta mesin dan peralatan (RM1.3 bilion).

“Ini menjadikan 87 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor ini,” katanya.

Mustapa berkata walaupun nilai pelaburan domestik yang diluluskan susut 57.8 peratus kepada RM21.3 bilion, pelaburan asing sektor pembuatan meningkat 12.9 peratus kepada RM19.4 bilion semasa tempoh berkenaan.

Beliau berkata sumber utama pelaburan asing ialah dari Netherlands, China, UK, Singapura dan Jepun.

“Kelima-lima negara ini bersama-sama menyumbang 57 peratus jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan bagi tempoh Januari-September,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sektor utama, yang terdiri daripada tiga sub-sektor utama iaitu pertanian, perlombongan dan perladangan serta komoditi, menarik pelaburan bernilai RM1.7 bilion bagi tempoh Januari-September. Beliau berkata pelaburan domestik menyumbang RM1 bilion, manakala pelaburan oleh sumber asing berjumlah RM700,000.

Mengenai masa depan, prestasi pelaburan bagi 2017 akan mencerminkan keyakinan pelabur yang terus mendapati Malaysia sebagai lokasi strategik untuk pelaburan mereka, katanya.

Beliau berkata misi perdagangan dan pelaburan baru-baru ini yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jerman, China dan Jepun menunjukkan petanda positif daripada komuniti perniagaan di sana untuk melabur dalam pelbagai projek pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia.

“Malah, lawatan baru-baru ini oleh perdana menteri ke China amat berjaya dengan permeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, infrastruktur, pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Menteri itu berkata semasa Malaysia berusaha mendapatkan akses pasaran yang lebih luas melalui perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala, kerajaan memberi penekanan terhadap usaha melindungi kepentingan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kita akan meneruskan usaha dalam membangunkan ekosistem perindustrian dalam negara serta menggalakkan peserta domestik meningkatkan rangkaian nilai.

“Untuk maju dalam persekitaran perniagaan yang pantas berkembang dan mencabar kini, kita perlu kekal berada di barisan hadapan dan terus mempelbagai perdagangan kita dengan dunia,” katanya. — Bernama

Advertisement