Anda di sini

Kegiatan sukan di sekolah mampu melahirkan modal insan berkualiti

Advertisement

// Oleh Reno Benjamin //

 Wong (tiga kiri) merasmikan Kejohanan Sukan PIBG SK Tanjung Penasu sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Andrew, Stanley, Ivy dan Winston.

RASMI: Wong (tiga kiri) merasmikan Kejohanan Sukan PIBG SK Tanjung Penasu sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Andrew, Stanley, Ivy dan Winston.

KEGIATAN sukan di sekolah mampu melahirkan modal insan yang berkualiti serta memiliki minda kelas pertama, yang akan menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kegiatan sukan bukan sahaja akan melahirkan murid yang sihat fizikalnya, tetapi murid yang memiliki minda yang cerdas.

“Kita seharusnya menyedari bahawa melalui kegiatan sukan kita mampu membangunkan modal insan yang berkualiti atau insan yang memiliki minda kelas pertama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Penasu Kali Ke-23 di Sibu, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Temenggung Stanley Geramong, Pemanca James Semilan, guru besar Ivy Yong, pengerusi Unit Bumiputera Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Bawang Assan Andrew Shilling, pengerusi penganjur merangkap Yang Dipertua PIBG SK Tanjung Penasu Winston Suji serta yang lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan itu memberitahu, acara sukan tahunan merupakan kemuncak kepada semua aktiviti sukan yang dijalankan di sekolah.

“Matlamat utama sukan tahunan ialah untuk mengukur kemampuan pelajar bersukan di peringkat sekolah dan seterusnya memilih atlet yang berkemampuan untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Kepada pelajar yang bertanding, gunakanlah gelanggang ini untuk menunjukkan kemampuan anda yang terbaik serta buatlah yang terbaik.

“Diharap acara sukan tahunan ini akan menjadi landasan kepada semua murid untuk meningkatkan keupayaan diri untuk terus maju dalam hidup,” jelasnya.

Wong juga menyeru kepada para pelajar agar rajin berlatih dan melalui latihan mental dan spiritual, mereka akan mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi.

Kepada orang awam yang mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan, beliau berharap semua pihak bertanding dengan semangat kesukanan.

“Semangat kesukanan ini lebih penting daripada memenangi pertandingan. Menang atau kalah adalah adat permainan tetapi yang lebih penting, kita harus mengukuhkan semangat perpaduan,” ujarnya.

Pada majlis sama, Wong turut mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi tahun 2017 sebanyak RM5,000 kepada PIBG SK Tanjung Penasu, Komuniti 1Malaysia Tanjung Penasu/Batu Burak (RM3,000) dan RELA Tanjung Penasu/Baru Burak (RM2,000).

 Gelagat peserta dalam acara olahraga yang dipertandingkan.

MENANG: Gelagat peserta dalam acara olahraga yang dipertandingkan.

Advertisement