Anda di sini

AEC genap setahun, perlu tingkat usaha raih kejayaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang bakal mencecah usia setahun penubuhannya pada 31 Dis ini, lancar menongkah persepsi pesimis biarpun realitinya masih banyak yang perlu dilakukan untuk merealisasikan kejayaannya.

Statistik Laporan Pelaburan ASEAN 2016 menunjukkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau itu susut sebanyak lapan peratus kepada AS$120 bilion (RM528 bilion) pada 2015 berbanding AS$130 bilion (RM572 bilion) pada 2014.

Angka itu dijangka terus merosot tahun ini sejajar ekonomi global yang terus suram susulan hasil pungutan suara United Kongdom (UK) untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) dan pertumbuhan lembap Amerika Syarikat (AS) yang di luar jangkaan.

“China misalnya, biarpun berstatus ekonomi kedua terbesar dunia, turut menyaksikan pertumbuhan yang perlahan,” kata anggota Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Datuk Ramesh Kodammal kepada Bernama.

Bagaimanapun, tegasnya, di sebalik kesuraman senario ekonomi, AEC masih berpotensi meraih kejayaan dengan syarat beberapa cabaran di rantau ini dapat ditangani.

Ini termasuk pelaksanaan lebih banyak usaha promosi dan program kesedaran berikutan pendirian kebanyakan kerajaan memilih memperkenalkan dasar bersifat perlindungan ketika berdepan saat-saat sukar.

“Langkah itu adalah biasa dan mudah diambil, namun negara-negara anggota ASEAN harus sebulat suara mengelaknya jika mahu memastikan kejayaan AEC,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramesh berkata aspek perlindungan atau sekatan bukan tarif (NTB) perlu dihapuskan untuk memudahkan lagi perdagangan dan pelaburan.

Malah, ketika ini, ada sejumlah 3,000 sekatan tarif yang perlu ditamatkan serta dijadikan antara usaha yang dititikberatkan oleh kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Laporan sebelum ini menyatakan, hanya 49 daripada 69 kes NTB sejak empat tahun lepas, dapat diselesaikan menerusi usaha perundingan secara intensif dan penelitian pihak berkaitan.

Bagaimanapun, setiap kali sekatan NTB diselesaikan, ia akan disusuli dengan bentuk sekatan baharu yang sewajarnya ditamatkan oleh ASEAN secara kekal.

Empat sektor keutamaan bagi NTB yang dikenal pasti itu termasuk peruncitan (termasuk e-dagang), agromakanan, penjagaan kesihatan dan logistik.

Selain NTB dan sekatan tarif, ASEAN juga masih belum mencapai penghapusan cukai sepenuhnya dalam kalangan enam negara pengasasnya.

Malah, maklumat menunjukkan enam negara ASEAN itu sudah menghapuskan duti import terhadap 98 peratus sekatan tarif manakala angka itu mencecah 91 peratus untuk Vietnam, Laos dan Myanmar manakala Kemboja sebanyak 98 peratus menjelang 2018.

“AEC wujud tepat pada masanya, terutamanya ketika spekulasi mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang turut melibatkan negara-negara anggota ASEAN, bakal berakhir.

“Sehubungan itu, ia merupakan peluang keemasan untuk AEC ASEAN menjadi lebih ketara sebagai platform melonjakkan perdagangan dan menarik lebih banyak FDI,” katanya.

TPP itu dianggotai 12 negara iaitu AS, Jepun, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru serta empat negara anggota ASEAN – Malaysia, Vietnam, Singapura dan Brunei.

Negara anggota ASEAN yang tidak menyertai TPP adalah Indonesia, Thailand, Laos, Kemboja, Myanmar dan Filipina.

Setakat ini, Ramesh berkata kebanyakan pelaburan bertumpukan sektor infrastruktur dan ia seharusnya dimanfaatkan dari segi promosi bagi mempertingkatkan keupayaannya.

“Kita perlu melihat lebih banyak FDI dalam sektor pembuatan yang harus disasarkan ASEAN bagi meningkatkan usaha promosi,” katanya.

Fasa seterusnya AEC bermula 2025 menyentuh penekanan ASEAN terhadap pembangunan dan promosi perusahaan kecil, sederhana dan mikro dalam usaha penyepaduannya bagi melonjakkan aspek dagangan dan pelaburan.

Ini termasuk mewujudkan satu platform berteraskan perniagaan elektronik, menggalakkan tadbir urus baik serta kemudahan penggunaan teknologi hijau.

Namun, sebelum AEC dapat mencapai fasa seterusnya, ia masih perlu menangani beberapa cabaran sekarang, khususnya membabitkan NTB berkenaan.

Justeru, ketika AEC mencecah usia setahun penubuhannya dan ASEAN menyambut ulang tahun ke-50 tahun depan, masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan blok serantau itu kekal relevan dan berjaya. — Bernama

Advertisement