Anda di sini

Tukar kepada terminal guna PIN dan kad segera

Advertisement

Gesaan AIBIM, ABM kepada peruncit dan pemegang kad

KUALA LUMPUR: Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) menggesa peruncit dan pemegang kad untuk menukar kepada terminal membolehkan penggunaan PIN dan kad secepat mungkin.

AIBIM dan ABM dalam satu kenyataan bersama semalam berkata, ini kerana penggunaan PIN adalah lebih selamat, mudah dan cepat untuk membuat pembayaran berbanding menggunakan tandatangan dan pembayaran kad tanpa PIN, yang tidak akan diterima di Malaysia tidak lama lagi.

Persatuan terbabit juga menggesa peruncit dengan terminal mereka untuk memasukkan PIN enam angka dengan selamat jika mereka menggunakan kad dan terminal yang boleh menggunakan PIN dan terminal itu meminta kemasukan PIN.

“Ramai peruncit mengabaikan PIN secara automatik apabila diberikan kad baharu yang boleh menggunakan PIN, kemungkinan bagi mengelak menghulurkan pad PIN kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, peruncit yang mempunyai terminal boleh menggunakan PIN, juga digesa memaparkan logo PIN dan Bayaran di kaunter kedai dan pembayaran mereka.

Persatuan itu berkata, pelancaran PIN dan Bayaran di Malaysia telah mencapai jumlah yang kritikal dari segi jumlah kad yang boleh mengguna PIN diedarkan kepada pemegang kad serta jumlah terminal pada peruncit yang dinaik taraf untuk PIN.

“PIN and Bayaran kini boleh didapati di banyak peruncit di mana pemegang kad sering membeli-belah dan tidak terhad kepada pasar raya, pasar raya besar, pusat beli-belah dan farmasi,” katanya.

Menurutnya, persatuan itu dengan kerjasama penyedia pembayaran elektronik, Mastercard dan Visa giat mempromosi penggunan PIN di seluruh negara.

Ini sejajar dengan projek keseluruhan pasaran dipanggil ‘PIN and Pay’ untuk mengubah cara pelanggan disahkan apabila menggunakan kad pembayaran mereka di terminal jualan domestik, tambahnya. — Bernama

Advertisement