Anda di sini

Pesara perlu dibimbing pelbagai pelaburan bantu tingkat simpanan

Advertisement

Bimbingan secara kerap bantu tingkat kefahaman bakal pesara

SEREMBAN: Menikmati hasil titik peluh dalam jumlah yang banyak ketika persaraan adalah antara perkara yang ditunggu semua bakal pesara yang sudah tentunya mempunyai pelbagai perancangan seperti bercuti, membeli rumah, menaik taraf rumah, pelaburan dan kesihatan.

Namun, jumlah wang diperoleh dengan banyak ketika bersara jika tidak digunakan dengan betul dan tanpa mendapat bimbingan sewajarnya, sudah pasti akan lebur begitu sahaja.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata pelbagai skim pelaburan jangka panjang telah disediakan kerajaan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Didik (ASD), Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) dan Skim Pelaburan Ahli (SPA) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengimbangi kebimbangan rakyat mengenai daya tahan simpanan semasa dan masa hadapan mereka.

Beliau berkata bakal pesara sebelum menamatkan perkhidmatan per lulah dibimbing mempelbagaikan pelaburan termasuk dalam koperasi sekurang-kurangnya selama tempoh enam bulan bagi membantu meningkatkan simpanan persaraan.

“Jangan dibiarkan mereka ini menjadi ghairah dengan skim cepat kaya yang menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh jangka pendek. Selalu kita dengar ramai yang menjadi mangsa kepada skim ini dan mereka ini tiada ilmu pelaburan menyebabkan mudah ditipu dan berputih mata,” katanya kepada Bernama.

Namun, Mohd Idrus berkata dalam keadaan ekonomi sekarang, bimbingan secara kerap perlulah dibuat oleh majikan bagi membantu meningkatkan kefahaman bakal pesara tentang aspek pelaburan yang mampu menjamin masa hadapan mereka.

“Bagi pesara kerajaan, mereka banyak bergantung kepada gratuiti dan gantian cuti rehat apabila bersara. Simpanan KWSP selama tiga tahun tidak memberi banyak impak kepada simpanan persaraan… tidak seperti 30 tahun lalu, di mana semua penjawat awam wajib mencarum 10 tahun dalam KWSP sebelum mereka berhenti.

“Oleh kerana itu, ramai kakitangan awam termasuk swasta juga yang menyediakan diri mereka dan keluarga dengan menyimpan dalam pelbagai skim pelaburan seperti ASB dan Tabung Haji serta insurans pendidikan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dari tahun ke tahun,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Mohd Idrus berkata kos sara hidup dijangka akan terus meningkat sejajar dengan perubahan ekonomi negara.

Sehubungan itu, adalah wajar gaji atau emolumen atau upah bagi pekerja di negara baik di sektor awam mahupun swasta dinaikkan bersandarkan skala perubahan ekonomi dan pembangunan negara, katanya.

“Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang diwujudkan oleh pihak UNDP (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu).

Peratusan kenaikan gaji boleh ditentukan dengan melihat kewajaran setelah dibandingkan dengan tahap pembangunan negara ini,” katanya.

Mengambil contoh amalan di negara-negara maju, beliau berkata pelbagai inisiatif telah diwujudkan bagi memastikan rakyat di negara berkenaan berpendapatan setaraf dengan pembangunan negara.

Bagi tujuan itu, Mohd Idrus mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan potongan gaji dengan sesuatu nilai yang munasabah ke dalam ASB atau mana-mana saham amanah yang diwujudkan kerajaan yang akan mendatangkan keuntungan jangka panjang sekaligus menjadi simpanan masa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata sudah sampai masanya untuk kerajaan mewujudkan pelan perubatan yang komprehensif yang mampu membiayai segala masalah kesihatan kepada pesara.

“Mereka perlu disediakan pelan perubatan yang mampu digunakan untuk membiayai sebarang komplikasi kesihatan selepas persaraan. Ini bagi mengiktiraf sumbangan semua pesara kerajaan dan swasta dalam membangunkan negara.

“Di samping i tu, i a akan membantu mereka meneruskan hidup selepas bersara dengan lebih tenang dan selesa,” kata Mohd Idrus. — Bernama

Advertisement