Anda di sini

CIMB Group cadang buka cawangan di Manila Q2 2017

Advertisement

Syarikat masih tunggu lesen dari BNM, bank pusat Filipina

HANOI: CIMB Group Holdings Bhd merancang untuk membuka cawangan di Manila pada separuh kedua 2017 bagi menyempurnakan kedudukannya di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata syarikat itu masih menunggu kelulusan lesen dari Bank Negara Malaysia dan bank pusat Filipina.

“Perancangannya adalah untuk membuka sebuah cawangan (di Manila), tidak seperti operasi di Vietnam yang mana kami mempunyai anak syarikat,” katanya kepada pemberita Malaysia dalam temu bual di sini.

Syarikat itu melancarkan anak syarikat di Vietnam, CIMB Bank (Vietnam) Ltd, semalam.

CIMB Group menjadi bank Malaysia ketiga yang menubuhkan anak syarikat di Vietnam selepas Public Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd.

Pengembangan perniagaan tersebut merupakan sebahagian Sasaran 2018 (T18) CIMB, langkah kajian semula strategik yang bermula pada Januari 2015, untuk menyempurnakan platform ASEAN syarikat itu.

CIMB, bank kedua terbesar Malaysia dari segi aset, memperoleh lesen perbankan sepenuhnya pertama untuk bank asing beroperasi di Vietnam pada September 2016 selepas berusaha sejak 2009.

Lesen itu membolehkan CIMB Vietnam menawarkan rangkaian penuh produk perbankan korporat, komersial dan pengguna di negara itu.

Setakat ini, hanya tujuh bank asing diberikan lesen untuk menubuhkan anak syarikat perbankan 100 peratus di Vietnam.

Tengku Zafrul berkata, syarikat itu akan menumpukan kepada tiga bidang utama di Vietnam, iaitu infrastruktur, pembuatan serta minyak dan gas.

Beliau berkata CIMB Group akan memanfaatkan kekuatan syarikat ASEAN yang merancang untuk mengambil peluang dari pasaran Vietnam.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Vietnam akan menjadi platform berbeza susulan tumpuan syarikat kepada perbankan digital memandangkan 40 peratus daripada jumlah penduduk negara itu berusia 25 tahun ke bawah yang lebih selesa dengan penggunaan teknologi.

“Ketika ini, 95 peratus daripada produk syarikat diuruskan melalui platform digital,” katanya.

CIMB mempunyai operasi di sembilan daripada 10 negara ASEAN setakat ini, manakala di luar rantau itu, ia mempunyai kedudukan pasaran di China, Hong Kong, India, Sri Lanka, Taiwan, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.  — Bernama

Advertisement