Anda di sini

PBS jayakan latihan kebakaran di SK Sg Entulang Bakong

Advertisement

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

 Anggota PBS turut berkongsi ilmu cara menggunakan pili bomba dengan betul bersama murid-murid.

BEGINI: Anggota PBS turut berkongsi ilmu cara menggunakan pili bomba dengan betul bersama murid-murid.

SERAMAI 65 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Entulang Bakong telah terlibat menjayakan ‘fire drill’, baru-baru ini.

Latihan terbabit turut mendapat kerjasama julung kalinya daripada Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sg Entulang Bakong.

Menurut jurucakap SK Sg Entulang Suhardi Junaidi, latihan itu juga mendapat sokongan daripada para guru dan kakitangan sekolah.

“Sebelum ini, kita hanya melakukan fire drill yang biasa sahaja. Tapi untuk kali ini pula, untuk pertama kali pihak kami mendapatkan kerjasama daripada PBS JKKK Sg Entulang Bakong.

“Latihan dimulakan dengan panggilan pihak sekolah untuk mendapatkan bantuan PBS JKKK Sg Entulang yang melibatkan lima anggota PBS.

“Api berjaya dipadamkan dalam tempoh lima minit dan 21 saat. Pihak PBS turut membuat simulasi menyelamatkan mangsa kebakaran yang melibatkan tiga guru dan tiga murid,” jelasnya.

Menurutnya, aktiviti berkenaan berjalan dengan lancar dan pihak sekolah amat berterima kasih serta mahu program sedemikian terus diadakan sebagai aktiviti tahunan dalam meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran serta menerap nilai sentiasa waspada dalam kalangan warga sekolah.

Sementara itu, PBS JKKK Sg Entulang Bakong merupakan pasukan di bawah jagaan Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Henry Jugah.

Jelas Henry yang juga pengurus PBS terbabit, latihan fire drill berkenaan tidak melibatkan anggota bomba dan hanya dikendalikan oleh lima PBS berkenaan.

“Ini juga antara aktiviti dalam memastikan kecekapan PBS JKKK Sg Entulang tersebut mempraktikkan latihan yang telah mereka pelajari.

“Selain itu juga, ia adalah sebahagian daripada latihan untuk melatih mereka agar sentiasa bersedia bagi menghadapi situasi berkenaan,” katanya.

Anggota PBS JKKK Sg Entulang Bakong tersebut disertai oleh Joannes Sedu, Nam @ Menam Manchu, Patrick Jimmy, Mekai Jakong dan Nyala Chendom. Hadir sama ialah Guru Besar SK Sg Entulang Bakong Mirisia Nawi.

Advertisement