Anda di sini

‘GECommunity 2016’ sasar RM100 juta pewujudan nilai rentas sempadan

Advertisement

Sasaran menerusi 9 makmal kluster khusus industri ‘GECommunity 2016’

 Najib bersama Madius (tujuh kanan) bergambar bersama pemenang Anugerah Pengkomersilan Malaysia 2016 pada Majlis Kemuncak Tahunan Pengkomersilan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

ANUGERAH: Najib bersama Madius (tujuh kanan) bergambar bersama pemenang Anugerah Pengkomersilan Malaysia 2016 pada Majlis Kemuncak Tahunan Pengkomersilan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Komuniti Keusahawanan Global 2016 (GECommunity 2016) menetapkan sasaran untuk meraih RM100 juta pewujudan nilai rentas sempadan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sasaran ini boleh dicapai menerusi sembilan makmal kluster  khusus industri GECommunity 2016 iaitu bandar pintar, kesihatan, kreatif, bioteknologi, rantaian bekalan, pendidikan, gaya hidup, kewangan dan inovasi sosial, yang akan merapatkan dunia korporat dan keusahawanan.

“Tujuan makmal ini adalah untuk mencari pendekatan baharu, berdaya cipta dan transformatif,” katanya pada majlis pelancaran GECommunity 2016 di sini semalam.

Najib berkata antara inisiatif menerusi makmal ini termasuklah masyarakat tanpa tunai Mastercard-Cyberjaya, Pemecut Kesihatan TechStars dan Inisiatif Inovasi Terbuka Nestle.

Perdana Menteri berkata GECommunity 2016 juga bermatlamat untuk mengetengahkan beberapa inisiatif yang telah dilancarkan, untuk menyediakan usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan dalam talian platform untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara seperti program eU@Marketplace.

Beliau berkata beberapa inisiatif lain termasuk kerjasama kerajaan dengan platform dalam talian terkemuka China, Alibaba, bagi membolehkan sistem pembayaran Alipay di Malaysia, yang seterusnya akan menarik pengguna dari China, yang merupakan pasaran pengguna kedua terbesar di dunia.

Selain itu, beliau berkata GECommunity juga termasuk kluster inovasi sosial yang akan menjadi teras utama kesemua kluster yang lain.

“Kami yakin bahawa dalam memupuk keusahawanan ketika transformasi negara berlaku, perubahan ini perlu mampan dan inklusif,” katanya.

Najib berkata kerajaan mengakui mengenai keperluan mendesak untuk memanfaatkan potensi besar kepintaran manusia menerusi imaginasi dan perusahaan.

Beliau berkata usahawan membayangkan dunia yang berbeza, dan mempunyai visi  untuk menyelesaikan masalah yang dianggap terlalu sukar oleh orang lain.

“Inilah resipi untuk inovasi penciptaan dan pewujudan penerokaan baharu, yang seterusnya mengupayakan pertumbuhan ekonomi yang memajukan sebuah negara.

“Kita berada di sini untuk mengilhamkan semua cara baharu untuk masa depan yang mungkin berlaku,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan dua inisiatif strategik – Program Pemecut Global dan Cabaran Impak ASEAN, yang akan dilaksanakan melalui Inovasi Global Malaysia dan Pusat Kreativiti (MaGIC) untuk melahirkan usahawan yang akan mempunyai kesan transformatif dalam pelbagai sektor dan komuniti.

Beliau berkata Program Pemecut Global akan menyokong sembilan kluster  GECommunity dalam membangunkan usahawan generasi akan datang, manakala Cabaran Impak ASEAN bermatlamat memanfaatkan bakat global untuk menyelesaikan yang memberi impak ke atas komuniti ASEAN.

“Inisiatif ini akan menggalakkan kaedah baharu dalam menjalankan perniagaan, memformalkan keterangkuman korporat dalam ekosistem keusahawanan, meningkatkan sokongan kepada usahawan dan menjadi pemangkin pertumbuhan,” katanya.

GECommunity 2016 pertama bertemakan ‘Mengemas kini Konsep Masa Depan Usahawan’ itu, bermatlamat menghimpunkan mereka yang berpengaruh dalam ekosistem, komuniti pemulaan dan pemimpin industri dari seluruh dunia.

Sidang kemuncak dua hari itu menarik penyertaan lebih 4,000 usahawan, pencipta, pemimpin industri dan mereka yang berpengaruh dalam ekosistem. — Bernama

Advertisement