Anda di sini

Firma penyelidikan yakin dengan saham Astro hasil keputusan suku ketiga

Advertisement

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan yakin terhadap saham Astro Malaysia Holdings Bhd berikutan pengumuman keputusan kewangan syarikat bagi bagi tempoh suku ketiga (Q3) berakhir 31 Okt 2016.

Keuntungan sebelum cukai Q3 Astro meningkat kepada RM208.75 juta berbanding  RM136.52 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan meningkat 3.6 peratus kepada RM1.42 bilion berbanding RM1.37 bilion sebelum ini, hasil peningkatan langganan, pengiklanan, pembelian barangan dari rumah dan pendapatan lain, kata penyedia perkhidmatan televisyen satelit berbayar itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Maybank IB dalam satu kenyataan berkata Astro masih teguh dan keputusan itu sejajar dengan jangkaan pasaran.

Firma penyelidikan itu yang mengulangi harga sasaran kekal pada RM2.50, berkata 70-75 peratus kos kandungan tahun kewangan 2018 (FY18) Astro dilindung nilainya pada kadar pertukaran dolar-ringgit AS yang kurang daripada bulan semasa.

Sementara itu, Public Bank Berhad dalam kenyataan berasingan berkata pendapatan syarikat itu meningkat hasil daripada kos kewangan yang lebih rendah, dan membuat saranan ‘mengatasi prestasi pasaran’ pada harga sasaran RM3.19.

“Kami meningkatkan unjuran pendapatan FY17 sebanyak lapan peratus dengan mengambil kira kos faedah bersih yang lebih rendah. Namun, unjuran FY18-19  tidak berubah,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata ia memilih Astro atas model perniagaannya yang berdaya tahan.

Kenanga Research pula meningkatkan jangkaan kepada ‘berprestasi tinggi’ daripada ‘berprestasi pasaran’, dengan harga sasaran yang tidak berubah pada RM3.02, memandangkan harga saham yang lemah baru-baru ini akan menyediakan peluang baik untuk membeli saham pada harga rendah.

Dalam nota kajiannya, Affin Hwang Capital pula berkata peningkatan pendapatan Astro didorong oleh peningkatan langganan NJOI, pendapatan perbelanjaan pengiklanan, serta Go Shop.

Ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas  Astro dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.30.

Pada 11.34 pagi, saham Astro meningkat enam sen kepada RM2.71, dengan 720,000 saham diniagakan. — Bernama

Advertisement