Anda di sini

Dagangan Malaysia antara Jan-Okt bernilai RM1.206 trilion

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia dalam tempoh Januari-Oktober 2016 susut sedikit kepada RM1.206 trilion berbanding RM1.210 trilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata Malaysia turut mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM69.25 bilion berbanding RM73.04 bilion dalam tempoh yang sama pada 2015.

“Dalam tempoh itu, eksport susut 0.6 peratus kepada RM637.55 bilion berbanding RM641.52 bilion, manakala import merosot secara marginal sebanyak 0.1 peratus kepada RM568.03 bilion berbanding RM568.48 bilion,” katanya.

Bagi Oktober 2016, jumlah dagangan meningkat 0.1 peratus kepada RM128.63 bilion, dengan eksport meningkat 1.7 peratus kepada RM69.2 bilion, jumlah tertinggi yang dicatatkan setakat ini pada 2016, manakala import susut 1.7 peratus kepada RM59.44 bilion.

Lebihan dagangan bagi bulan dalam kajian itu meningkat kepada RM9.76 bilion berbanding RM7.56 bilion pada September 2016.

MITI berkata bagi 10 bulan pertama 2016, eksport barangan perkilangan meningkat dua peratus kepada RM526.22 bilion.

Eksport sektor pembuatan menyumbang 82.5 peratus kepada jumlah eksport berbanding 80.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport keluaran pertanian meningkat 1.6 peratus kepada RM56.93 bilion, terutama eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit.

Eksport minyak sawit meningkat 0.1 peratus kepada RM33.7 bilion, berasaskan Purata Nilai Unit (AUV) yang lebih tinggi.

Namun, eksport barangan perlombongan merosot 24 peratus kepada RM50.08 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah, dengan AUV yang lebih rendah,” katanya.

Bagi tempoh Januari-Oktober 2016, dagangan Malaysia dengan ASEAN merosot  0.6 peratus kepada RM328.58 bilion berbanding tempoh yang sama 2015 manakala dagangan dengan Amerika Syarikat meningkat 5.4 peratus kepada RM112.08 bilion, dan dagangan dengan China meningkat 1.2 peratus kepada RM191.65 bilion.

Dalam tempoh yang sama, dagangan Malaysia dengan Jepun bernilai RM97.84 bilion berbanding RM104.95 bilion dalam tempoh yang sama pada 2015. — Bernama

Advertisement