Anda di sini

Nilai saksama ringgit sepatutnya 4.05-4.10

Advertisement

Kelemahan ringgit berbanding dolar AS ketika ini dipengaruhi kesan ‘Trumponomics’

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, penyusutan ringit hanyalah sementara dan menegaskan yang nilai saksama mata wang tempatan itu sepatutnya sekitar 4.05 hingga 4.10.

Pengarah Eksekutif, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, ringgit perlu kembali kepada paras keseimbangan sebaik faktor sebenar diambil kira dan kuasa spekulatif yang membawa kepada kelemahan semasa, berkurangan.

“Bank Negara Malaysia kini mengambil beberapa langkah untuk mewujudkan permintaan untuk ringgit dan menstabilkan pergerakannya, meminimumkan turun naik kepada isi rumah dan komuniti perniagaan.

“Kadar pertukaran sebenar akan ditentukan faktor sebenar, antaranya aliran barangan dan perkhidmatan,” katanya pada Persidangan Prospek Ekonomi Kebangsaan di sini, semalam.

Persidangan itu dirasmikan Pengerusi PLUS Malaysia Bhd, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Zakariah berkata, walaupun permintaan dan penawaran untuk ringgit daripada pasaran luar pesisir adalah penting, negara boleh hidup tanpa elemen spekulasi.

Menurutnya, kelemahan ringgit ketika ini dipengaruhi kesan ‘Trumponomics’ berikutan pemilihan Donald Trump sebagai presiden AS serta prestasi minyak mentah.

Dalam satu pembentangan mengenai prospek ekonomi Malaysia, Zakariah berkata, MIER mengunjurkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar pada 2017, dipacu permintaan domestik.

“Permintaan domestik dijangka berterusan tahun depan berikutan dasar fiskal bagi merangsang perbelanjaan dan dasar monetari yang akomodatif,” katanya.

Untuk setahun penuh 2016, beliau berkata, MIER mengekalkan unjuran pertumbuhan 4.2 peratus dalam KDNK berikutan sektor luaran yang lembap.

Mengenai risiko kerugian untuk tahun depan, beliau berkata, pemulihan lebih lembap daripada dijangka dalam ekonomi maju dan kelembapan berterusan di China serta ekonomi sedang membangun mungkin melemahkan permintaan global manakala kesan berjangkit Brexit boleh membawa kepada lebih banyak ketidaktentuan di Kesatuan Eropah.

“Dasar ekonomi Trump mungkin mengembalikan dasar perlindungan di kalangan ekonomi maju dan kejatuhan berterusan harga minyak mungkin berlaku disebabkan kos pengeluaran lebih rendah pengeluaran minyak shale dan jika kuota OPEC tidak berkesan,” katanya.

Mengenai usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, Zakariah berkata, Malaysia perlu bekerja 22 peratus lebih kuat dengan kadar ringgit diguna dalam unjuran lebih awal pada 3.60 kepada dolar AS berbanding kadar semasa sekitar 4.40. — Bernama

Advertisement