Anda di sini

MATRADE sasar eksport E&E meningkat 1% tahun ini

Advertisement

Perniagaan global hadapi persekitaran ekonomi mencabar

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar  Malaysia (MATRADE) menyasarkan eskport sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) tumbuh sekurang-kurangnya satu peratus tahun ini berdasarkan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata secara realitinya banyak perniagaan global masih membuat penyesuaian akibat kesan turun naik mata wang, kejatuhan harga minyak, selain pertumbuhan ekonomi yang perlahan, yang turut menjejaskan industri E&E.

“Kedudukan ini menjejaskan rakan dagang Malaysia selain menyebabkan permintaan yang perlahan ke atas produk kita. Selain itu kita juga berhadapan persaingan dari rakan serantau, terutama Vietnam.

“Jika kita mencapai hasil yang positif tahun ini, kita sewajarnya gembira. Namun, memang sukar untuk mencatat keputusan yang menyamai pertumbuhan tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada seminar bertajuk ‘Semikonduktor: Satu Permulaan Era Baharu’, anjuran MATRADE di sini semalam.

Walaupun pertumbuhan yang lebih perlahan tahun ini, Dzulkifli berkata beliau masih positif terhadap industri itu yang akan kekal sebagai tulang belakang kepada industri di Malaysia.

E&E kekal sebagai antara penyumbang utama eksport Malaysia pada 2015, mencatat RM277.92 bilion atau 8.5 peratus pertumbuhan berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh semikonduktor yang menyumbang 49.5 peratus daripada eksport E&E.

Sementara itu, eksport E&E bernilai RM207.89 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan produk utama termasuk peranti semikonduktor, litar bersepadu, transistor dan injap, mesin pemprosesan data automatik serta peralatan telekomunikasi.

Walaupun terdapat tanggapan bahawa industri semikonduktor boleh mencapai tahap tepu atau menghadapi kemerosotan, Dzulkifli menegaskan bahawa kekuatan yang dimiliki penggiat industri tidak pernah gagal untuk menangani segala cabaran.

Ini katanya, disokong oleh keupayaan Malaysia untuk membangun dan matang dalam pelbagai cara, yang menyumbang kepada banyak industri seperti perubatan teknologi, penerokaan angkasa, perkhidmatan digital dan pengangkutan.

Beliau berkata semikonduktor merupakan industri yang pantas bergerak dan peka kepada perubahan dalam pasaran dunia dan dijangka menjadi pengerak utama ekonomi dunia.

Menerusi kemunculan bandar raya pintar dan aplikasi digital menerusi data raya, ‘Internet of things’ dan ‘Industri 4.0’, sektor itu akan berubah  sewajarnya dan bersedia untuk menjadi penggerak utama dalam ekonomi dunia. — Bernama

Advertisement