Anda di sini

50 kanak-kanak sertai Majlis Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Masjid Al-Muhajirin

Advertisement

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

 Kanak-kanak menikmati saat-saat disiram air menggunakan hos bomba.

BASAH KUYUP: Kanak-kanak menikmati saat-saat disiram air menggunakan hos bomba.

SEKITAR 50 kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan Beramai-Ramai yang berlangsung di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Usahajaya Baru Jalan Sentosa di Sibu, Sabtu lepas.

Majlis itu merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan Masjid Al-Muhajirin yang dianjurkan oleh Biro Rakan Muda Masjid Al-Muhajirin itu sendiri.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King iaitu Setiausaha Politiknya Tiong Sie Kiong.

Dalam ucapan Tiong, beliau menyambut baik penganjuran program seumpama itu kerana ia tidak melibatkan masyarakat Islam sahaja, malah turut disertai oleh kanak-kanak bukan Islam juga.

“Perpaduan seperti inilah yang ingin kita kekalkan kerana perpaduan antara kaum dan agama seperti ini sahaja yang dapat menjamin keharmonian negara kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Muhajirin Abang Mohamad Abang Chek berkata majlis Sabtu itu adalah simbolik perasmian berkhatan beramai-ramai dan acara berkhatan sebenar diadakan pada Ahad.

“Hari ini kita kumpul kanak-kanak yang berusia sembilan hingga 12 tahun untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu sama ada mereka sudah boleh dikhatankan atau belum,” katanya, Sabtu lepas.

Tambah beliau, majlis itu juga bertujuan untuk membantu memudahkan urusan ibu bapa dalam mengkhatankan anak-anak mereka.

Majlis berkhatan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Hospital Sibu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu.

 Tiong (tiga kanan) dibantu dua pegawai bomba menyiram air kepada peserta majlis berkhatan beramai-ramai.

SIMBOLIK: Tiong (tiga kanan) dibantu dua pegawai bomba menyiram air kepada peserta majlis berkhatan beramai-ramai.

Advertisement