Anda di sini

Langkah BNM akan menjurus kepada ringgit lebih stabil

Advertisement

Pasaran NDF dalam negeri, luar pesisir semakin bertumpu

KUALA LUMPUR: Langkah yang sedang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan mudah tunai pasaran tukaran asing (FX), dijangka menjurus kepada kedudukan ringgit yang lebih stabil, kata RHB Research dalam nota kajiannya.

Ia berkata pasaran kontrak hadapan ringgit tanpa serahan (NDF) dalam negeri dan luar pesisir dilihat semakin bertumpu.

“Tanda pertama muncul pada petang Jumaat lepas (2 Dis) apabila ringgit ditutup pada paras 4.45 berbanding dolar AS dalam pasaran domestik, manakala dalam pasaran luar pesisir ia ditutup pada 4.44.

“Ini menunjukkan bahawa bank-bank luar pesisir telah mengurangkan kerugian lindung nilai NDF mereka dan beransur-ansur menjual kepentingan dalam ringgit untuk mengelak kerugian, berikutan kedudukan spekulatif yang diambil pada beberapa minggu lepas.

“Namun, belum ada kepastian mengenai kedudukan pasaran NDF ringgit seterusnya,” katanya.

Jumaat lepas, Jawatankuasa Pasaran Kewangan BNM mengumumkan langkahlangkah bagi meluaskan pasaran FX dalam negeri dalam usaha untuk meningkatkan kecairan, berkuat kuasa semalam.

Unit tempatan itu dibuka tinggi berbanding dolar AS semalam dalam negeri susulan langkah-langkah berkenaan, mengukuh kepada 4.4470/4500 berbanding dolar AS dalam perdagangan awal daripada 4.4500/4550 Jumaat lepas (6 petang).

RHB Research berkata secara keseluruhannya, langkah yang diumumkan itu bermatlamat untuk mempunyai pasaran pertukaran asng yang mendalam, telus dan berfunsi dengan lebih baik dalam pasaran tukaran asing dalam negeri, dengan pelabur tulen dan peserta pasaran dapat mengurus risiko pasaran secara lebih fleksibel dalam melindung nilai dalam pasaran dalam negeri.

Dalam tempoh terdekat, langkah itu dijangka menyediakan sokongan ke atas ringgit, apabila keuntungan hasil eksport ditukar ke dalam mata wang tempatan.

“Bagaimanapun, permintaan ke atas mata wang asing untuk membayar import dan aliran keluar modal dapat mengimbangi sebahagian daripada keuntungan,” katanya.

“Dalam jangka sederhana, kami yakin usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan ke atas asas-asas ekonomi Malaysia, bagi menyokong ringgit,” katanya.

Sementara itu, keperluan untuk mengekalkan hanya 25 peratus daripada perolehan eksport dalam mata wang asing, mungkin akan menambah kos untuk menjalankan perniagaan, kata firma penyelidikan itu.

“Namun pada pandangan kami, ini mungkin kerugian kecil yang dialami Malaysia dalam usaha untuk membangunkan dan memperkukuh pasaran FX dalam negeri, dan mendalamkan pasaran FX dalam negeri,” katanya.

Selain itu, memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, kami percaya memang wajar bagi negara ini melaksanakan langkah kawalan tukaran asing bagi memastikan ringgit yang lebih stabil,” katanya. — Bernama

Advertisement