Anda di sini

Legasi Nestle M’sia terus utuh selepas 104 tahun

Advertisement
HOFBAUER

HOFBAUER

Malaysia turut terpilih jadi antara Hab Pemerolehan Global Nestle bagi penuhi keperluan rantau ini

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Bhd, kini bertapak paling kukuh sebagai syarikat makanan yang mengagumkan selepas 104 tahun di Malaysia dengan pelaburan besar bernilai kira-kira RM1.1 bilion sejak lima tahun lepas.

Ia menempa kedudukan utuh di Malaysia sejak 1912 serta sentiasa giat memperkenalkan inovasi produk baharu beberapa tahun lepas dan kini unit Nestle S.A yang berpangkalan di Switzerland itu, bersedia untuk menawan lagi hati masyarakat Malaysia.

Pengarah Urusan, Alois Hofbauer berkata Nestle Malaysia telah membuat pelaburan besar dalam keupayaan pembuatan sejak lima tahun lepas dan akan terus melabur dalam kategori produk dan pelancaran baharu tahun depan.

“Malaysia turut terpilih untuk menjadi antara Hab Pemerolehan Global Nestlé bagi memenuhi keperluan rantau ini, bersama-sama hab di Switzerland dan Panama,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, hab yang dijadual dilancar secara rasmi pada awal 2017 di Selangor itu, akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pengurusan pemerolehan bahan mentah khusus, pembungkusan, bahan tidak langsung serta perkhidmatan lain.

“Hab berkenaan juga akan menyokong pasaran dengan menguruskan perbelanjaan tempatan, dan mewujudkan pekerjaaan berpendapatan tinggi di Malaysia,” katanya.

Hofbauer berkata Malaysia merupakan destinasi pelaburan menarik berdasarkan asas-asas jangka panjang negara ini, di samping lokasinya yang strategik dan kaya dengan pelbagai sumber.

“Selepas 104 tahun berada di Malaysia, kami memperoleh kepercayaan daripada masyarakat dan pengguna, berjuta-juta kali setiap hari dan menawarkan produk berkualiti seperti Milo dengan lebih daripada enam juta cawan minuman Milo disediakan setiap hari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata produk jualan terlaris lain di Malaysia ialah Sos Cili Maggi yang merupakan cita rasa paling digemari ramai memandangkan ia bersumberkan cili kualiti terbaik yang dipetik dengan tangan, daripada peladang di Kelantan.

“Kami akan terus mengukuhkan kerjasama sedia ada dengan peladang cili di Kelantan itu,” katanya.

“Produk kami bukanlah sentiasa paling murah, namun dari segi kualiti, kesihatan dan nutrisi, ia adalah yang terbaik di pasaran,” katanya.

Menurut Hofbauer, Nestle Malaysia dengan warganya berjumlah lebih 5,000 individu menghasilkan lebih 500 produk halal termasuk jenama terkemuka buatan Malaysia seperti Milo, Maggi dan Nescafe.

“Kami mempunyai lapan kemudahan pembuatan di Malaysia yang terletak di Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kemudahan pembuatan Nestle Malaysia adalah 100 peratus diperakui halal, membekalkan pasaran domestik serta mengeksport produk halal buatan Malaysia berkualiti tinggi ke lebih 50 negara di seluruh dunia.

Hofbauer juga menekankan bahawa Nestle Malaysia melaksanakan usaha penting untuk meningkatkan nilai nutrisi dalam produknya, seperti kandungan gula dalam minuman Milo dikurangkan 20 peratus tahun lepas dan kandungan garam dalam Maggi Kari diturunkan secara ketara sebanyak 30 peratus.

Beliau berkata, produk inovasi baharu iaitu Maggi Oatmee, mengandungi kandungan garam terendah berbanding mana-mana mi segera, diperkenalkan untuk memenuhi kesedaran kesihatan global yang seiring dengan ikrar syarikat makanan terkemuka itu bagi menepati piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Katanya, inovasi produk melalui penawaran berterusan produk berkualiti dengan cita rasa hebat, akan terus memacu pertumbuhan khususnya  ketika persekitaran pasaran tidak menentu memandangkan turun naik harga minyak mentah dan komoditi akan berterusan.

“Banyak produk yang kini berada dalam pasaran tidak wujud pada dua hingga tiga tahun lepas, dan kami terus melaksanakan inovasi, membangunkan dan mengembangkannya seiring dengan keperluan pengguna,” katanya.

Hofbauer berkata, rahsia kejayaan Nestle Malaysia dalam mengekalkan perolehannya sejak sekian lama, adalah kerana ia mengutamakan inovasi produk dalam memperkenalkan dan menawarkan produk baharu kepada pasaran.

Selain itu, Nestle Malaysia juga menambah baik produk lamanya supaya seiring dengan keperluan pengguna, katanya.

“Pada 2013, kewangan kami berprestasi baik, namun kami menyaksikan cabaran mendatang, sekali gus mendorong kami untuk merangka strategi ‘Memacu Pertumbuhan’ yang menumpu kepada pemacuan pertumbuhan dalam kecekapan, produktiviti, inovasi dan transformasi,” katanya.

Beliau berkata, tiga teras strategi Nestle Malaysia berdasarkan FIT iaitu ‘Fuel’ (Pacu Pertumbuhan), ‘Innovate’ (Inovasi) dan ‘Transform’ (Transformasi), telah menjadi tonggak kekuatan semasa situasi ekonomi semakin mencabar apabila pengguna lebih berjimat cermat dan pendapatan boleh guna pengguna semakin mengalami tekanan.

Hofbauer berkata, didorong oleh pemacuan inovasinya, Nestle Malaysia, telah mencatat sejumlah pencapaian tahun ini, termasuk pelancaran produk baharu dan menarik seperti pembukaan kedai konsep coklat KitKat yang membolehkan pelanggan mendapatkan produk itu mengikut cita rasa mereka.

“Sumber terbaik inovasi ialah warga kami sendiri memandangkan syarikat menggalakkan mereka untuk mencetuskan idea-idea hebat produk baharu yang boleh dikomersialkan dengan jayanya,” kata beliau.

Beliau berkata, inovasi merupakan sebahagian daripada nadi Nestle dan akan terus menjadi pemacu penting untuk pertumbuhan perniagaan.

“Inovasi dan penambahbaikan produk menyumbang 10 peratus kepada jualan tahunan kami pada 2015, hampir tiga kali ganda daripada yang dicatatkan pada 2013,” katanya.

Hofbauer mendedahkan hari ini Nestle Malaysia bukan sekadar menginovasikan produk tetapi juga menginovasikan model perniagaan untuk menyediakan penyelesaian perniagaan yang efektif dari segi kos dan produk mampu milik dalam pasaran.

“Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kami, dari mula lagi kami sedar yang kami perlu menjadikan sistem dalaman kami lebih efisien untuk membuat penjimatan yang diperlukan,” jelasnya.

Hofbauer berkata Nestle Malaysia dapat membuat penjimatan besar menerusi platform peningkatan produktiviti kumpulan yang menumpukan kepada menghapuskan pembaziran dan menyediakan pelaburan berterusan dalam meningkatkan produktiviti serta penambahbaikan.

“Ini membolehkan kami membuat penjimatan besar sebanyak RM129 juta pada 2013, penjimatan RM134 juta pada 2014 dan penjimatan RM188 juta pada 2015, yang dilaburkan semula untuk jenama,” katanya.

Melalui pelaburan semula penjimatan itu, katanya, Nestle boleh memberi lebih banyak lagi nilai kepada pelanggan.

Selepas mencatatkan keputusan kewangan yang memberangsangkan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Hofbauer berkata Nestle Malaysia yakin dalam berhatihati dengan prospek pendapatannya tahun depan.

Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 Sept, 2016, keuntungan sebelum cukai syarikat meningkat kepada RM685.002 juta daripada RM609.033 juta.

Hofbauer, warga Austria, melahirkan keyakinannya terhadap prospek masa depan Malaysia yang terletak di lokasi strategik di Asia dan menjadi hab halal penting bagi kumpulan Nestle di seluruh dunia.

“Di Eropah, ‘Yesterday Once More’ adalah lagu kegemaran, di sini di Asia dan Malaysia, orang percaya esok akan menjadi hari yang lebih baik dan melangkah positif ke masa hadapan,” katanya dengan penuh bersemangat.

Hofbauer, yang menyertai kumpulan syarikat Nestle pada 1990, pernah memegang banyak jawatan kanan di Hong Kong, China, Taiwan dan Sri Lanka sehingga pelantikan beliau sekarang sebagai pengarah urusan Nestle Malaysia pada 2013. — Bernama

Advertisement