Anda di sini

Innorail dan firma China jalin kerjasama teknologi sistem rel

Advertisement
 Chua menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Innorail Systems Technology Sdn Bhd, C C Lim (kanan) dengan  Ketua  Pegawai Eksekutif O&C Electric Technique Co, Ltd, Vanio Wang pada majlis pemeterian perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

TERMETERAI: Chua menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Innorail Systems Technology Sdn Bhd, C C Lim (kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif O&C Electric Technique Co, Ltd, Vanio Wang pada majlis pemeterian perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Innorail Systems Technology Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan firma China, O&C Electric Technique Co Ltd (OCET) bagi pemindahan teknologi bekalan tenaga tambahan sistem rel di Malaysia melibatkan pelaburan sebanyak 50 juta renminbi (RM32.35 juta).

Ketua Pegawai Operasi Innorail, Mervin Mohan Appana berkata usaha itu membabitkan langkah pengwujudan kemudahan pengeluaran di Malaysia selain latihan dan pembangunan kemahiran jurutera dan juruteknik tempatan.

“Kami merancang untuk membuka kemudahan pengeluaran itu di Selangor pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara kedua-dua pihak itu di sini, semalam.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong.

Mengikut perjanjian itu, Innorail bertindak sebagai pemegang lesen harta intelek OCET seperti teknologi pengeluaran dan pengetahuan penukar atau pengubah tenaga tambahan rel bagi kenderaan dan produk berkaitan.

Syarikat itu akan turut menghantar 20 jurutera ke China selama 12 bulan bagi menyempurnakan latihan mereka.

Mengulas lanjut, Mervin berkata perjanjian itu bertujuan mempertingkatkan daya saing dagangan dan pengangkutan kebangsaan menerusi penerapan keupayaan teknologi baharu.

“Pada masa ini, kami menyasarkan projek rel yang berpotensi ataupun peningkatan projek sistem transit aliran ringan serta kenderaan cekap tenaga.

OCET memiliki banyak produk yang boleh kami manfaatkan bagi memperluaskan asas rangkaian produk sedia ada,” katanya.

Beliau turut menjangkakan sistem itu dapat dieksport, sekali gus menjadikan Malaysia antara pengeksport sistem pengubah kereta api dan berkaitan di dunia.

Sementara itu, Chua pula menyifatkan usaha sama itu akan mempertingkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan China dalam segmen landasan kereta api.

Malah, pada masa ini, hanya 46 peratus daripada rangkaian landasan kereta api Malaysia sepanjang 1,642 kilometer itu merupakan landasan berkembar elektrik.

“Apabila laluan Gemas-Johor Bahru siap kelak, angka itu mencecah 58 peratus yang menggambarkan masih ada peluang lebih besar untuk meneroka bidang ini,” katanya. — Bernama

Advertisement