Anda di sini

Merdeka Palace Hotel & Suites diyakini mampu jana untung

Advertisement
 Isa memukul gong sebagai simbolik prapelancaran Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching semalam di bawah pengurusan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

LANCAR: Isa memukul gong sebagai simbolik prapelancaran Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching semalam di bawah pengurusan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

KUCHING: Merdeka Palace Hotel & Suites diyakini mampu menjana keuntungan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat di bawah pengurusan FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Berucap pada prapelancaran hotel tersebut semalam, Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata penglibatan FELDA dalam industri perhotelan bukan perkara baharu dan pada masa sama belum cukup terkenal.

Tetapi beliau yakin, hotel yang baharu diambil alih oleh FELDA di bawah pengurusan FIC ini mampu berkembang dengan baik seperti mana hotel-hotel lain yang diurus oleh FICHM sama ada di dalam negara mahupun luar negara.

“Selain Merdeka Palace di Kuching, FELDA turut memiliki dua buah hotel dan dua bangunan penginapan asrama pelajar di London serta masing-masing sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Bidang perhotelan dan hospitaliti ini merupakan antara aset yang tidak diambil oleh FELDA Global Ventures (FGV) untuk diuruskan oleh FIC dan pada awal tahun depan kita akan mengambil alih beberapa lagi residen untuk diuruskan oleh FIC,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Hospitality Management Sdn Bhd (FICHM), Megat Shahrul Azman Abas berkata, sejak mengambil alih hotel ini pada 2014, FIC telah memulakan beberapa projek penambahbaikan dan naik taraf hotel.

Pihak lembaga pengarah FIC katanya juga telah meluluskan cadangan untuk memperbaharui hotel ini antaranya projek mengecat semula bangunan hotel di mana pemilihan warna serta skim kod telah dipilih sendiri oleh ahli lembaga pengarah.

Selain itu, ahli lembaga pengarah turut bersetuju untuk projek penambahbaikan hotel pada tahun hadapan melibatkan bilik penginapan serta perluasan outlet dan pelbagai lagi fasiliti lain untuk hotel ini.

“Kita juga akan menambah baik tadbir urus dan prosedur standard operasi hotel supaya menepati standard hotel-hotel bertaraf lima bintang yang terkini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Megat berkata pihak hotel juga telah menunaikan tanggungjawab sosial koprorat (CSR) kepada masyarakat setempat di mana sebahagian daripada hasil jualan makanan di hotel ini akan disalurkan kepada Persatuan Orang Miskin Kuching.

Majlis bacaan yasin dan makan bersama anak-anak yatim turut diadakan setiap bulan sebagai amal ibadah di samping menjamu kanakkanak dari madrasah di sekitar bandar raya ini serta banyak lagi aktiviti lain.

Dari segi pembangunan kakitangan pula, sejak mengambil alih hotel ini, FIC telah membawa beberapa perubahan positif untuk pembangunan kakitangan dengan menubuhkan satu subdedikasi yang fokus kepada latihan pekerja.

Sebagai contoh katanya, beberapa kakitangan Merdeka Palace Hotel dan Suites telah dipinjamkan ke hotel lain milik FIC untuk membantu operasi hotel di Port Dickson di samping memberi peluang kepada kakitangan untuk menimba pengalaman.

 

Advertisement