Anda di sini

3.176 juta pelancong tiba di Sabah tahun lalu

Advertisement

KENINGAU: Sejumlah 3.176 juta pelancong telah tiba di negeri ini pada tahun lalu, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz di sini.

Katanya, daripada jumlah itu, 2.19 juta adalah ketibaan pelancong domestik manakala selebihnya pelancong luar negara.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini seramai 1.44 juta pelancong tempatan dan 758,000 pelancong luar negara telah tiba di negeri ini,” katanya pada Malam Citrawarna sempena dengan Festival Crocker Range yang diadakan di padang bandaran di sini pada Sabtu.

Katanya, daerah ini juga adalah antara penyumbang jumlah ketibaan pelancong berdasarkan lokasi Keningau yang strategik dalam lingkungan Jajaran Banjaran Crocker.

Justeru katanya, kementerian menyokong penuh usaha pejabat daerah dengan kerjasama agensi kerajaan lain dalam menganjurkan dan mengangkat Festival Crocker Range untuk menarik lebih ramai pengunjung ke daerah pedalaman sekali gus merangsang ekonomi penduduk setempat.

“Program Festival Crocker Range yang telah menjadi program tahunan sejak tahun lalu ini merupakan usaha terbaik bagi daerah ini untuk mempromosikan produk pelancongan.

“Pada masa sama membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk dengan peluang-peluang perniagaan semasa daripada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Nor Yahati Awang.

Nazri berkata, pemilihan Keningau sebagai salah satu lokasi untuk mengadakan program bagi mempromosikan produk pelancongan negara khususnya di negeri ini dan kawasan pedalaman yang kaya dengan pelbagai tarikan memberi impak besar terhadap usaha memajukan sector ini dan  seterusnya menjadikan negeri ini sebagai  salah satu destinasi pelancongan utama negara.

Beliau berkata, dengan gabungan pelbagai pengisian aktiviti sempena festival ini juga yang turut disertai oleh peserta dalam dan luar negara menjadikan program yang diadakan bertaraf antarabangsa dan meningkatkan lagi prestij festival yang juga memupuk semangat muhibah antara masyarakat majmuk dalam dan luar negara.

Sementara itu, Pegawai Daerah Yusop Osman berkata, festival yang kali kedua diadakan ini terus mendapat sambutan dan tahun ini penganjur juga telah menambah baik sambutan dengan adanya kemudahan mini astaka padang bandaran yang menjadi pusat pengisian aktiviti sepanjang festival.

Katanya, turut mendapat impak positif ialah lebih 200 usahawan kecil yang berpeluang membuka gerai jualan produk sepanjang empat hari festival ini berlangsung.

“Keningau mempunyai beberapa produk pelancongan menarik antaranya taman Banjaran Crocker, Pusat Kraftangan Sabah, Gunung Trusmadi, Batu Sumpah Keningau dan Air Terjun Orou Sapulot.

“Setiap pelancong tentu terpikat melihat keindahan semula jadi serta keunikan masyarakat pelbagai kaum yang ramah serta mempunyai pelbagai produk kraf tangan tempatan yang mampu menarik pelancong untuk terus berkunjung ke sini,” katanya.

Sempena majlis itu, jawatankuasa penganjur juga memberikan anugerah khas kepada pengamal media kawasan pedalaman yang membantu kerajaan mempromosikan produk pelancongan melalui laporan di akhbar tempatan dan nasional.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Nor Yahati kepada  Presiden Persatuan Wartawan Keningau (KJA), Francis Andin yang mewakili ahli-ahli persatuan.

Hadir sama mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Justin Guka, Ketua Daerah OKK Mohd Amir Datuk Arif, Ketua cawangan KPDNKK Keningau K. Gunasegaran, Pengarah Program Rafie Robert, Kapitan Liew Keat Lim, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Keningau, Agustine Nain serta pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Advertisement