Anda di sini

Ubat tidak berdaftar bernilai RM207,000 dirampas di Labuan

Advertisement

LABUAN: Jabatan Kesihatan Labuan merampas ubat-ubatan tidak diluluskan dan mengandungi racun berjadual bernilai kira-kira RM207,602 setakat ini pada tahun ini.

Tahun lepas, jumlah yang dirampas bernilai RM152,416.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata rampasan tahun ini dilakukan di farmasi dan pintu masuk ke pulau bebas cukai ini.

Bercakap pada majlis Malam Dialog dan Penghargaan di sini malam kelmarin, beliau berkata dalam serbuan yang dilakukan sehingga Oktober, jabatan itu mendapati 112 premis menjual ubat-ubatan tanpa lesen.

Pada majlis itu, pengerusi Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) dan warga media dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), New Sabah Times, Radio Televisyen Malaysia (RML Labuan), Sea Hua Daily News,

Overseas Chinese Daily News (OCDN), Labuan Times dan Jabatan Penerangan Labuan menerima sijil pengargaan kerana mengetengahkan pelbagai isu berkaitan kesihatan kepada orang ramai.

Sementara itu, setakat ini pada tahun ini, Jabatan Kesihatan Labuan merekodkan 216 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut, batuk kering (106), hepatitis B (34), leptospirosis (32), gonorea (14), demam denggi (13), jangkitan HIV (lima), demam kepialu dan demam paratifiod (tiga) serta hepatitis A dan B (masing-masing satu). — Bernama

Advertisement