Anda di sini

ESSCom patah cubaan pindah minyak sawit mentah

Advertisement

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berjaya mematahkan cubaan lima lelaki untuk memindahkan sejumlah 39,600 liter minyak sawit mentah secara haram dari sebuah lori tangki di Batu 20, Jalan Labuk, di sini, kelmarin.

Komander ESSCom, DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, sepasukan anggota yang diketuai oleh DSP Wan Badrul Hisham telah membuat serbuan terhadap sebuah lori kargo dan sebuah lori tangki yang sedang melakukan aktiviti itu di salah sebuah lokasi di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, lima lelaki berumur antara 27 hingga 33 tahun sedang melakukan aktiviti memindahkan minyak sawit mentah menggunakan sebuah hos daripada sebuah lori tangki ke sebuah lori kargo.

Pemeriksaan lanjut mendapati mereka cuba untuk memindahkan minyak berkenaan ke sebuah lori kargo tanpa memiliki surat kebenaran daripada mana-mana pihak termasuk daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata kesemua lelaki berkenaan telah ditahan atas kesalahan memindahkan minyak sawit mentah tanpa kebenaran dan akan disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

Menurutnya, pihaknya turut merampas kedua-dua lori tangki dan lori kargo berkenaan serta satu unit enjin pam yang dianggarkan bernilai hampir RM320,000. — Bernama

Advertisement