Anda di sini

151 premis termasuk 16 sekolah diiktiraf kawasan tanpa sampah

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengiktirafan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya sebagai Sekolah Tanpa Sampah menjadikan sekolah itu sebagai sekolah ke-16 mendapat pengiktirafan sedemikian sejak ia dilaksanakan pada Ogos 2011.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata, sekolah ini diberi pengiktirafan pembaharuan setelah mendapat pengiktirafan sama sebanyak dua kali pada sebelum ini.

Manakala Prasekolah SK Sri Gaya mendapat pengiktirafan kali pertama sebagai Sekolah Tanpa Sampah pada tahun ini.

Beliau berkata penyertaan sekolah ini dalam kempen Anti Kutu Sampah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membantu merealisasikan usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai Bandaraya Tanpa Sampah suatu hari kelak.

Katanya, kerjasama seperti ini adalah satu strategi terbaik untuk memperluaskan Misi 4P (Perkhidmatan, Pembersihan, Penguatkuasaan dan Pembangunan) DBKK.

Menurutnya, dengan pengiktirafan SK Sri Gaya sebagai sekolah tanpa sampah kelmarin, ia menjadikan jumlah keseluruhan premis tanpa sampah kini mencecah 151 premis, sejak Kempen Anti Kutu Sampah DBKK dilaksanakan pada 2008.

Mengenai jumlah keseluruhan penyertaan dalam Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik, sehingga kini terdapat 376 penyertaan dalam kempen ini.

Beliau berharap agar semua tenaga kerja dan murid di sekolah ini tidak akan membuang sampah di merata-rata tempat dan mereka akan sentiasa bercakap tentang amalan membuang sampah di tempat yang betul walau di mana juga mereka berada.

Yeo turut memberi peringatan bahawa pengiktiafan tanpa sampah ke atas sekolah mahupun kawasan lain boleh ditarik balik sekiranya didapati sampah-sarap dibuang di merata tempat di kawasan sekitar mahupun luar sekolah.

“Dengan itu, saya meminta pihak sekolah agar sentiasa memastikan bahawa sekolah ini dan kawasan sekitarnya bebas daripada sampah pada setiap masa,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK Bahari Hassan sempena Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan SK Sri Gaya sebagai Sekolah dan Prasekolah Tanpa Sampah, di SK Sri Gaya, di sini kelmarin.

Yeo juga berharap agar sekolah ini akan memainkan peranan dalam menerapkan nilai murni dan semangat sayangkan alam sekitar dalam kalangan murid, guru dan tenaga kerja bagi mendidik mereka supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Ia kerana kawasan yang dicemari sampah bukan sahaja menyakitkan mata malah, memberi kesan negatif terhadap masyarakat serta mengundang pelbagai penyakit akibat pencemaran.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Guru Besar SK Sri Gaya AlHazmi Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya DBKK Robert Lipon.

Advertisement