Anda di sini

RHB terus laksana inisiatif di bawah strategi dirangka semula: Khairussaleh

Advertisement

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah strategi yang dirangka semula untuk kekal mencatat keuntungan di sebalik persekitaran global yang mencabar.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata kumpulan mencatatkan keputusan yang positif setakat ini dan akan terus berhati-hati dengan menumpukan kepada kualiti aset.

“Selain itu, kami akan terus meningkatkan kecekapan operasi kami dan mengekalkan tahap kecairan dan modal yang tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Khairussaleh berkata kumpulan juga akan memberi tumpuan kepada pendigitalan perniagaan terasnya, selain meningkatkan pengalaman pelanggan sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mencapai matlamat jangka panjang.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, RHB Bank mengumumkan keuntungan sebelum cukainya meningkat kepada RM662.62 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2016 berbanding RM329.15 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan naik kepada RM2.70 bilion berbanding RM2.66 bilion sebelum ini.

Khairussaleh berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2016 dijangka berkembang antara empat dan lima peratus, dipacu terutamanya oleh perbelanjaan pengguna.

“Pertumbuhan sektor perbankan Malaysia akan kekal sederhana dan pertumbuhan pinjaman korporat dijangka rendah dan akan terdapat penggabungan dalam segmen pinjaman isi rumah,” katanya.

Khairussaleh juga berkata pasaran modal dan kewangan dijangka rendah, dan peningkatan tekanan ke atas kecairan dan kualiti aset turut memberi kesan kepada prestasi sektor perbankan.

Dalam kenyataan berasingan, RHB melantik Syed Ahmad Taufik Albar sebagai Ketua Pegawai Kewangan yang baharu berkuat kuasa 1 Dis, 2016.

Taufik akan menggantikan Yap Choi Foong, yang meninggalkan kumpulan itu untuk menceburi bidang lain. — Bernama

Advertisement