Anda di sini

Pewujudan ppki bantu perkembangan pendidikan anak-anak istimewa

Advertisement
 Chan menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid PPKI, sambil diperhatikan Shirley (kanan) dan Azhar (kiri).

SELAMAT MAJU JAYA: Chan menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid PPKI, sambil diperhatikan Shirley (kanan) dan Azhar (kiri).

SANDAKAN: Pewujudan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sangat bertepatan dalam membantu perkembangan pendidikan anak-anak berkeperluan khas dan istimewa, kata Pegawai Pembangunan Masyarakat Elopura Chan Tzun Hei.

“Malah, kerajaan juga amat menitik berat soal pendidikan anak-anak istimewa dengan menyediakan pendidikan berkaitan sekali gus membantu mereka berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Graduasi PPKI SK Sg Anib III, di Borneo Cove Hotel, di sini, kelmarin. Chan mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura Datuk Au Kam Wah, merasmikan acara itu.

Pada majlis itu, Chan turut menyampaikan sijil graduasi kepada lima murid PPKI sekolah itu yang tamat Tahun 6 dan akan melanjutkan pelajaran di sekolah menengah tahun depan.

Turut disampaikan, anugerah cemerlang kepada murid-murid PPKI sekolah itu, ibu bapa, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu serta guru-guru dan kakitangan PPKI itu, yang banyak berjasa membantu PPKI sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Chan berkata kerjasama ibu bapa dan guru juga penting dalam memastikan perkembangan pendidikan anak-anak istimewa berkenaan.

Beliau juga menyarankan lebih banyak aktiviti atau usaha memperkenalkan PPKI kepada masyarakat umum termasuk di luar bandar dan memberi informasi kepada ibu bapa dan orang ramai berkaitan kemudahan pendidikan PPKI itu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan ibu bapa menyuarakan cadangan mahupun keperluan atau infrastruktur PPKI kepada pihak berkuasa tempatan atau Majlis Perbandaran Sandakan untuk membantu insan istimewa sebagai tambahan kepada perkhidmatan sedia ada.

Chan juga merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak dan warga pendidikan khas di negeri ini termasuk guru-guru di beberapa PPKI di daerah Sandakan yang terus komited mendidik anak-anak istimewa ini yang telah mampu berdikari.

Hadir sama, Pegawai Meja Unit Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan Samsudin Enting; Ali Rahman Arshad mewakili Pegawai PPD Sandakan Sh Mahada Sh Attar; Guru Besar SK Sg Anib III Azhar Sani Tamam; Yang Dipertua PIBG PPKI Sukri Lamallu; Ketua Wanita UMNO Batu Sapi Rahimah Asrah; dan Penolong Kanan Pendidikan Khas Shirley Liew Fui Mui.

Turut diadakan pada majlis itu ialah persembahan tarian, nyanyian, lakonan dan syair oleh murid-murid PPKI berkenaan.

Advertisement