Anda di sini

Michelle dinobat Kumang ‘Raban Ngepan Iban’

Advertisement
 Pemenang Kumang RNI Michelle (duduk tengah) bersama  Nisya (dua kanan), Beatrice (dua kiri), Avchie (kanan) dan Roseda (kiri).

ANGGUN: Pemenang Kumang RNI Michelle (duduk tengah) bersama
Nisya (dua kanan), Beatrice (dua kiri), Avchie (kanan) dan Roseda (kiri).

JURURAWAT berusia 25 tahun dari Sibu, Michelle Thomas Magal berjaya menewaskan 14 peserta lain merebut gelaran Kumang ‘Raban Ngepan Iban’ (RNI) di sebuah hotel di Miri, baru-baru ini.

Selain merangkul gelaran Kumang, Michelle turut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta tiara, selendang, sejambak bunga, piala, jam tangan, barangan kecantikan tajaan Nori Skincare dan sijil penyertaan.

Sementara gelaran ‘Lulong’ atau tempat kedua dimenangi Nisya Sukri, 19, kacukan Iban dan Melayu merupakan seorang model sambilan.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta piala, sijil penyertaan, selendang, sejambak bunga, jam tangan dan barangan kecantikan Nori Skincare.

Pemenang gelaran ‘Selingkar Matari’ atau tempat ketiga dimenangi Beatrice Geraldine Ringkai, 24, juga berasal dari Sibu dan bertugas sebagai pembantu perubatan.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700 serta sijil, selendang, piala, sejambak bunga, jam tangan dan barangan kecantikan Nori Skincare.

Tempat keempat ialah Avchie Kulan Tuan, 23 dari Lubok Antu dan kelima, Roseda Ancha, 27, dari Miri masing-masingnya menerima hadiah wang tunai RM200 dan RM150 serta sijil, selendang, piala, sejambak bunga, jam tangan dan barangan kecantikan Nori Skincare.

Seramai 15 orang peserta mengambil bahagian pada pertandingan Kumang RNI dianjurkan oleh Persatuan Raban Ngepan Iban (PRNI) sempena pelancaran rasmi persatuan itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Julai lalu.

Presiden PRNI, Stephen Abas memberitahu kelima-lima peserta teratas secara automatik layak ke pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan tahun depan sempena sambutan Hari Gawai Dayak.

Menurutnya, PRNI dengan matlamat penubuhannya memperkasa dan mengukuhkan usaha-usaha memulihara busana-busana tradisional Iban serta adat dan budaya kaum Iban agar tidak pupus dan hilang keasliannya disebabkan peredaran zaman.

Sementara itu, majlis itu disempurnakan oleh ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Alexander Donald mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi.

Dalam ucapannya, Majang memuji usaha PRNI melindungi dan mengembalikan perjuangan memulihara budaya, lebih-lebih lagi busana tradisional kaum Iban di landasan betul bagi mengelak diancam budaya-budaya moden dunia luar.

“Tidak dapat dinafikan budaya tradisi kita hari ini semakin mengalami ancaman budaya dari dunia luar, terutama budaya moden semakin menghakis keaslian, tradisi dan keunikannya,” jelas beliau.

“Oleh itu, penubuhan persatuan seperti PRNI memperjuang perkara ini dan seterusnya mempromosi kepada dunia luar adalah satu usaha amat dipuji dan dialu-alukan,” katanya.

Justeru sebagai tanda sokongan, Majang melalui wakilnya mengumumkan peruntukan berjumlah RM7,000 untuk PRNI bagi membantunya membiayai aktiviti dan memperjuang usaha-usahanya.

Dalam pada itu, Majang menyarankan PRNI supaya bertindak lebih kreatif menjadikan keunikan dan keindahan busana tradisional Iban sebagai satu produk boleh dipasarkan bukan sahaja dalam malah luar negara secara langsung memperkenal bangsa Iban di mata dunia.

Sementara itu, 15 peserta mengambil bahagian pada pertandingan Kumang RNI menjalani saringan ‘Top 10’ dan seterusnya ‘Top 5’

sebelum diumumkan pemenangnya.

Advertisement