Anda di sini

Cathay Pacific terima Ringgit Malaysia

Advertisement

Media sosial sebarkan mata wang tempatan tidak diterima pengurup wang asing

KUALA LUMPUR: Cathay Pacific semalam mengumumkan penumpangnya boleh menggunakan Ringgit Malaysia bagi membuat bayaran pembelian dalam penerbangan.

“Penumpang yang berhasrat membeli item jualan dalam penerbangan sentiasa boleh membayar melalui kad kredit mereka atau dalam bentuk tunai Ringgit Malaysia,” kata jurucakap Cathay Pacific kepada Bernama.

Jurucakap itu berkata demikian bagi menjelaskan apa yang tersebar di media sosial bahawa syarikat penerbangan tersebut telah mengeluarkan notis kepada anak kapalnya untuk tidak menerima ringgit bagi transaksi dalam penerbangan.

Menurut syarikat penerbangan nasional Hong Kong itu, sebelum ini pada 11 Nov, vendor pertukaran mata wang memaklumkannya bahawa ringgit dalam bentuk tunai tidak akan diterima untuk pertukaran.

“(Selepas itu) Pada 14 Nov, kami menerima pemberitahuan baharu bahawa Ringgit Malaysia dalam bentuk tunai akan diterima, berkuat kuasa serta-merta.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami,” menurut syarikat penerbangan itu.

Media sosial juga menyebarkan bahawa mata wang tempatan tidak diterima oleh pengurup wang asing.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati ringgit Malaysia masih diterima secara meluas oleh pengurup wang di pasaran luar negara, sekali gus bercanggah dengan apa yang tersebar di media sosial.

Di Singapura, Thailand dan Indonesia, pengurup wang di negara-negara jiran itu aktif mendagangkan ringgit malah terdapat pengurup wang yang mengalami kekurangan bekalan mata wang itu susulan permintaan tinggi. — Bernama

Advertisement